arena

Fajer 'stress' letak jawatan?

Oleh Firdaus Hashim

KETUA jurulatih Kelantan, Fajer Ibrahim semalam membuat kejutan apabila meluahkan hasrat untuk melepaskan jawatan selepas gagal menghadiahkan sebarang kemenangan dalam tiga aksi Liga Malaysia sejak membimbing pasukan pada penghujung Mac lalu.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, sejurus tamat aksi menentang PKNP di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang malam semalam, beliau ada menemui bekas jurulatih Syria itu bagi meluahkan rasa kecewanya di atas aksi hambar dua tonggak pasukan, Mohammed Mahmoud Ghaddar dan Mohd Farisham Ismail.

Namun sebaliknya yang berlaku apabila Fajer menyatakan hasrat untuk meninggalkan pasukan kerana gagal mengubah nasib pasukan.

“Semalam saya jumpa jurulatih lepas perlawanan untuk bertanyakan pasal Ghaddar dengan Farisham saja. Saya sebenarnya kecewa dengan prestasi Ghaddar.

“Saya juga ada menyuarakan supaya berlaku adil kepada semua pemain. Mungkin beliau sebagai jurulatih profesional merasakan lebih baik beliau meletak jawatan bila tiga aksi dengan seri satu dan dua kekalahan.

“Tapi bagi saya, bila keadaan ‘stress’ atau sesuatu di luar jangka mungkin ada terkeluar kenyataan begitu. Selagi belum ada hitam putih kita tunggu sahaja . Kita tunggu sahaja dan apa pun kita bersedia dengan apa jua keputusan dari beliau,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Skuad The Red Warriors (TRW) tewas 0-2 di tangan PKNP FC yang menyaksikan mereka kini terus terperosok di dasar liga bersama Negeri Sembilan dengan menghimpun lima mata daripada lapan aksi.

Sebelum ini, Fajer mengejutkan penyokong TRW apabila menggugurkan ramai pemain senior termasuk Mohd Badhri Mohd Radzi, Khairul Fahmi Che Mat, Amirizdwan Taj Tajuddin, S Veenod, Rozaimi Azwar dan Faizol Nazlin Sayuti serta awang import Brazil, Bruno Lopes.

Sebaliknya beliau memberi peluang kepada pemain muda yang disifatkanya mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain lama.

“Sekiranya jurulatih letak jawatan selepas beliau sendiri melakukan rombakan pemain dengan dirinya sekali tak ada, Yusri Che Lah kena bersiap sedia untuk ambil alih dan ambil peluang sebaik mungkin dari apa yg diterapkan oleh Fajer sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2018 @ 6:35pm
d