arena

Roma mahu VAR di Liga Juara-Juara

Oleh Reuters

PRESIDEN AS Roma, James Pallotta menyertai gesaan bagi penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) di Liga Juara-Juara selepas kelab Itali itu disingkirkan Liverpool di peringkat separuh akhir, semalam.

Kekalahan 6-7 secara agregat menamatkan impian Roma dalam kejohanan elit itu selepas kelab senegaranya, Juventus turut tersingkir kepada penyandang juara, Real Madrid di peringkat suku akhir dalam aksi penuh kontroversi.

Pallotta percaya Roma adalah mangsa kepada dua kesilapan yang boleh mengubah keputusan permainan apabila menang dengan keputusan 4-2 pada aksi timbal balik kedua di gelanggang sendiri, Stadium Olimpik.

“Saya tahu ia sukar buat pengadil tetapi ia betul-betul memalukan apabila kami tewas dengan agregat seperti itu,” kata Pallotta yang juga jutawan dan mengendalikan kumpulan pelaburan swasta, Raptor di Amerika Syarikat.

“Kamu tidak boleh membiarkan perkara seperti ini berlaku.”

Penyerang Roma, Edin Dzeko secara kontroversi dikatakan berada dalam kedudukan ofsaid apabila dia dijatuhkan penjaga gol Liverpool, Loris Karius dengan pemain muda, Trent Alexander-Arnold selepas itu dikatakan menampan bola menggunakan tangannya.

“Kamu semua boleh melihatnya sendiri. Pada minit ke-49, dia (Dzeko) tidak ofsaid dan dia dijatuhkan oleh penjaga gol,” kata Pallotta.

“Ia adalah kesalahan memegang bola dan ia jelas kepada semua orang dan mungkin di dunia tetapi tidak di atas padang. Ia sepatutnya kad merah di mana mereka (Liverpool) mungkin beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-63.

“Jika mereka tidak menggunakan VAR dalam Liga Juara-Juara, ia satu jenaka.”

Penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon melancarkan serangan terhadap pegawai perlawanan selepas kelab itu tersingkir di suku akhir selepas pemain Real, Cristiano Ronaldo menyempurnakan penalti di lewat perlawanan.

Inter Milan yang dibimbing Jose Mourinho pada 2010 menjadi pasukan terakhir dari Itali memenangi Liga Juara-Juara dengan Juventus menjadi naib juara dalam tiga edisi lalu.

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 2:43am
d