arena

F1 jalanan di Miami bakal jadi kenyataan

Oleh AFP

Miami: Acara Grand Prix Formula Satu di sekitar jalanan di Miami mungkin menjadi kenyataan pada 2019 jika majlis perancang bandar memberikan lampu hijau kepada cadangan berkenaan ketika mesyuarat minggu depan, kata satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.

Dalam satu kenyataan, badan induk perlumbaan berkenaan berkata, Majlis Perbandaran Miami sudah memasukkan cadangan berkenaan ke dalam mesyuarat yang bakal berlangsung 10 Mei ini.

Jika mendapat undian mencukupi, impian untuk menyaksikan satu daripada kalendar perlumbaan Formula Satu akan dapat direalisasikan.

Pengarah urusan operasi komersial Formula Satu, Sean Bratches berkata, pihaknya berminat untuk mengadakan perlumbaan di pusat bandar Florida.

“Kami menghargai permintaan serta sokongan warga setempat yang mahu melihat perlumbaan Formula Satu di sana dan kami sedang berusaha dengan pegawai tempatan serta pemegang saham untuk menjadikan ia sebagai kenyataan,” kata Bratches.

“Dengan lebih setengah bilion peminat di seluruh dunia, Formula Satu adalah sukan permotoran terbesar dan gabungan kedudukan Miami sebagai satu daripada bandar yang terkenal, menjadikan ia sebagai destinasi tepat untuk sukan ini serta peminatnya.”

Untuk rekod, Amerika Syarikat sudah menjadi tuan rumah kepada satu daripada perlumbaan Formula Satu iaitu di GP Austin, Oktoberdepan.

Media tempatan melaporkan, acara di Florida akan turut dijalankan pada Oktober dengan kontrak 10 tahun bermula 2019-2029.

Langkah untuk menambah Miami ke dalam kalendar Formula Satu diilhamkan sejak pengambilalihan sukan itu oleh syarikat konglomerat Amerika, Liberty Media.

Jutawan yang berpangkalan di Miami, Stephen Ross yang juga pemilik Miami Dolphins, menyokong penuh penganjuran berkenaan dan menganggap acara itu sebagai sesuatu yang logik buat warga tempatan.

“Miami adalah bandar kelas satu di dunia dan Formula Satu juga acara kelas utama,” kata Ross.

“Dengan kerjasama antara bandar Miami dan majlis, saya yakin kami mampu membawakan satu lagi acara berkelas perdana buat warga tempatan dan ia akan memacu nilai ekonomi kepada Selatan Florida.”

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 10:57am
d