arena

'Tak macam dulu'

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menganggap skuad Harimau Malaya bukan pasukan pilihan untuk menjuarai Piala AFF biarpun laluan awal mereka agak mudah berdasarkan keputusan undian kelmarin.

Malaysia diundi bersama juara 2008 Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos dalam Kumpulan A, manakala juara bertahan Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura dan sama ada Brunei atau Timor Leste dari pusingan kelayakan akan berentap dalam kumpulan maut, Kumpulan B.

Biarpun tuah undian dilihat memihak kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe, Serbegeth atau turut dikenali sebagai Shebby menganggap ia bukan jaminan buat Harimau Malaya melepasi peringkat awal selepas prestasi buruk 12 perlawanan tanpa kemenangan sebelum menang 7-0 ke atas Bhutan pada aksi persahabatan, 1 April lalu.

“Kalau dilihat dalam saingan Kumpulan A, jelas Vietnam adalah pasukan pilihan, manakala Myanmar dan Kemboja adalah pasukan yang sedang membangun jadi anda jangkakan prestasi mereka berada pada satu tahap lebih baik kali ini. Situasi sekarang, kita bukan lagi pasukan pilihan, bukan lagi pasukan kuat di rantau Asia Tenggara.

“Tapi, kita boleh gunakan situasi itu untuk melakukan kejutan ke atas pasukan lain untuk mara ke separuh akhir,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada edisi terakhir dua tahun lalu di Yangon, Myanmar, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal melepasi halangan awal selepas menang 3-2 ke atas Kemboja, namun tumpas 0-1 kepada Vietnam dan Myanmar.

Menurut Serbegeth yang kerap diundang sebagai pengulas bola sepak di stesen televisyen antarabangsa, kejohanan edisi ke-12 itu adalah gelanggang untuk Cheng Hoe membuat permulaan baru selepas huru-hara yang berlaku dalam kem negara beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya harap Tan Cheng Hoe akan gunakan peluang ini untuk membina pasukan baru kerana apa yang paling penting adalah kestabilan. Dua, tiga tahun lalu banyak huru-hara berlaku, jurulatih bertukar, ada pemain bersara, ada yang dipanggil balik secara mengejut, jadi kita mahukan kestabilan kali ini.

“Tak boleh lagi keluar 14 pemain, masuk dua pemain kerana kita perlu ada pemain yang menjadi teras pasukan,” katanya.

Kempen skuad negara akan bermula dengan menentang Kemboja di Phnom Penh pada 8 November, sebelum melayan kunjungan Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 12 November, bertemu Vietnam di Hanoi (16 November) dan Myanmar di Bukit Jalil (24 November).

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 11:13am
d