arena

Hafizh belum pulih 100%

Oleh Fadhli Ishak

HAFIZH Syahrin Abdullah yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan berdepan kesukaran dalam sesi latihan bebas Grand Prix Sepanyol semalam.

Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu jauh ketinggalan pada sesi latihan pertama (FP1) dengan catatan masa satu minit 42.074 saat untuk berada di kedudukan paling belakang daripada 25 pelumba di litar Jerez yang dikuasai Andrea Dovizioso dari Ducati dengan 1:39.268s.

Pelumba kelahiran Ampang itu masih jauh daripada tahap terbaik di FP2 walaupun menunjukkan peningkatan untuk melonjak ke kedudukan ke-23 selepas merakam 1:40.488s dengan Cal Crutchlow (LCR Honda Castrol) menggungguli ujian itu dengan 1:38.614s.

Pelumba rookie itu membuat perlumbaan cemerlang pada musim ini, meraih tempat ke-14 di Qatar dan Argentina (kesembilan) sebelum berdepan nasib malang di Texas mengalami insiden buruk dalam sesi pemanas badan dan perlumbaan.

Menjadikan ia lebih buruk, Hafizh mengalami kemalangan ketika menjalani latihan berbasikal di Barcelona pada awal minggu ini dan mengalami kecederaan luka di bahagian pinggul dan siku walaupun bertekad untuk tetap berlumba di Jerez.

Hafizh mengakui yang dia sedikit bergelut dengan kecederaan itu tetapi optimis dengan peluangnya pada hujung minggu ini.

"Saya berasa bagus dengan jentera, tetapi keadaan saya belum berada di tahap 100 peratus kerana masih merasai kesakitan pada bahagian kaki kiri.

"Saya cuba mendapatkan keyakinan di atas M1 (jentera) dengan ini (kecederaan) dan cuba mencari posisi paling baik untuk menunggang, ia sedikit menjejaskan dan menyukarkan saya," kata Hafizh.

"Apapun, perasaan saya di atas jentera adalah sangat baik, dan kini ia terpulang kepada diri saya sendiri."

Rakan sepasukan Hafizh, Johan Zarco ketujuh terpantas pada FP1 (1:39.518s) dan meningkat ke kedudukan ketiga pada FP2 (1:38.705s).

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 1:48am
d