arena

Simeone kena gantung 4 aksi

Oleh Reuters

MADRID: Jurulatih Atletico Madrid Diego Simeone digantung empat perlawanan kerana mengaibkan pegawai perlawanan susulan berang dengan pengadil pada aksi pertama separuh akhir Liga Europa minggu lalu, kata UEFA hari ini.

Simeone sudah pun digantung satu perlawanan selepas dilihat berada di bangku penonton awal pagi semalam ketika Atletico menewaskan Arsenal 1-0 pada aksi timbal balik untuk mara ke final. Beliau turut didenda 10,000 euro (RM47,134), kata badan induk bola sepak Eropah itu.

Simeone dibuang padang pada awal permainan aksi pertama di Stadium Emirates kerana menjerit kepada pengadil Perancis Clement Turpin dan juga menolak pegawai perlawanan selepas pertahanan Arsenal Hector Bellerin tidak dilayangkan kad kerana mengasari pemain tengah Atletico Koke.

Kesabaran Simeone mula tercabar pada awal permainan apabila pertahanan Atletico Sime Vrsaljko dibuang padang kerana dilayangkan dua kad kuning berturut-turut.

Simeone yang pernah naik angin di pentas Eropah sebelum ini meluru ke arah padang untuk berdepan pertahanan Real Madrid Raphael Varane pada penhujung aksi final Liga Juana-Juara 2014 di mana Atlletico tewas 1-4 kepada Madrid selepas masa tambahan.

Bahan Kawalan, Etika dan Disiplin UEFA turut mendenda Atletico 10,000 euro selepas penyokong mereka membaling objek ke padang.Simeone akan terlepas aksi final menentang Olympique de Marseille pada 16 Mei.Pembantu Simeone German 'Mono' Burgos akan sekali lagi menggantikan tempatnya.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 6:10am
d