arena

Masa Neuer makin suntuk

Oleh AFP

MANUEL Neuer hanya mempunyai satu perlawanan untuk membuktikan tahap kecergasannya berikutan keretakan tulang kaki, sebelum Jerman menamakan skuad Piala Dunia mereka dalam tempoh dua minggu lagi.

Penjaga gol Jerman itu direhatkan sejak September dan walaupun kembali berlatih bersama Bayern Munich, ketua jurulatih Jupp Heynckes sekali lagi tidak menurunkannya untuk perlawanan Bundesliga menentang Cologne malam ini.

Pengendali Jerman Joachim Loew akan menamakan skuad awal Piala Dunia pada 15 Mei, di mana Neuer hanya berbaki satu perlawanan liga musim ini, di laman sendiri menentang Stuttgart pada 12 Mei untuk membuktikan kesediaannya.

“Anda perlu sentiasa berwaspada. Ini adalah keretakan yang berulang dua atau tiga kali, jadi anda tidak boleh melakukan satu lagi kesilapan,” kata Heynckes.

Loew berkata yang dia bercadang untuk membawa Neuer, 32, ke kem latihan Piala Dunia di utara Itali akhir bulan ini, tetapi masa semakin suntuk.

Selepas perlawanan liga dengan Cologne dan Stuttgart, perlawanan terakhir Bayern musim ini ialah final Piala Jerman pada 19 Mei bertemu Eintracht Frankfurt di Berlin.

 

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 8:18am
d