arena

Tiada De Paula, tiada masalah: Maciel

Oleh Rodly Fadly

 

KETIADAAN Guilherme de Paula pada aksi Liga Super menentang Kelantan di Kota Bharu malam ini tidak mencetuskan panik dalam kem Kuala Lumpur, malah tidak sesekali membantutkan misi mereka untuk membawa pulang tiga mata.

Pengendalinya Fabio Maciel berkata, beraksi tanpa Guilherme bukan perkara baru kepada pasukan dan dia yakin tiada masalah buat anak buahnya menangani situasi itu.

Penyerang import dari Brazil itu terpaksa menjadi penonton di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam ini ekoran dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan oleh Lembaga Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas didapati bersalah menumbuk pemain Selangor, Halim Zainal pada aksi suku akhir pertama Piala FA, 7 April  lalu.

“Ini bukan pertama kali Kuala Lumpur beraksi tanpa De Paula, kami telah melaluinya ketika mengalahkan Selangor 3-0 pada suku akhir kedua Piala FA,” kata Maciel.

“Tidak dinafikan kalau dia bermain, barisan serangan kami lebih mantap. Tapi, ia bukan masalah besar kerana saya sudah menyediakan pasukan ini dengan pelbagai formasi untuk berdepan apa sahaja situasi.

“Tanpa De Paula, kami akan menggunakan senjata lain untuk menewaskan Kelantan. Semua pemain sudah memahami apa corak perlu mereka persembahkan bila keadaan seperti ini berlaku

“Sama ada De Paula bermain atau tidak, saya tetap mahu Kuala Lumpur membawa pulang tiga mata. Itu adalah matlamat kami malam ini.”

Maciel bagaimanapun mengingatkan pemain-pemainnya supaya berwaspada dengan Kelantan yang menunjukkan peningkatan walaupun tewas kepada PKNP dan Johor Darul Ta’zim.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 4:12pm
d