arena

Tak guna pujuk Iniesta: Valverde

Oleh AFP

JURULATIH Barcelona Ernesto Valverde mengakui beliau tidak cuba mengubah pendirian Andres Iniesta apabila pemain tengah itu memberitahunya akan meninggalkan kelab itu sebulan lalu.

Valverde juga berkata beliau ‘tidak peduli’ jika Real Madrid enggan memberikan Barca sebarang penghormatan sebelum aksi Classico awal pagi esok, apabila pasukan tuan rumah datang sebagai juara La Liga dan Piala Raja Sepanyol.

Pertemuan kedua-dua pasukan gergasi Sepanyol di Camp Nou akan menjadi yang terakhir buat Iniesta selepas mengumumkan akan meninggalkan Barcelona pada akhir musim ini.

Iniesta yang dijangka melengkapkan perpindahan ke China menjadi nadi pasukan sejak beberapa bulan lalu namun Valverde berkata tiada gunanya cuba memujuk pemain berusia 33 tahun itu.

“Dia memberitahu saya sekitar sebulan, sebulan setengah yang lalu,” kata Valverde.

“Saya tidak akan berkata apa-apa, kami bertukar pandangan, ia satu perbincangan yang serius.

“Apabila orang yang memberitahu anda adalah seorang yang mempunyai pengalaman sepertinya, bukan pemain muda yang boleh anda arahkan, anda tidak akan cuba menyakinkannya atau membuatnya berfikir panjang mengenainya.”

Aksi terakhir Iniesta adalah antara salah satu perlawanan penting minggu ini namun tidak memberi kesan besar terhadap kedudukan La Liga.

Namun persepsi terhadap kempen kedua-dua kelab kini dalam perhatian.

Barcelona  berpeluang mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menjulang dua gelaran manakala Real mahu merencat kegembiraan Barca menjelang final Liga Juar-Juara akhir bulan ini.

Disiarkan pada: May 6, 2018 @ 5:23am
d