arena

Dunia bola sepak 'bersatu' doakan Ferguson

Oleh AFP

CRISTIANO Ronaldo dan David Beckham menjadi antara individu menyuarakan ucapan selamat terhadap Sir Alex Ferguson selepas bekas bos Manchester United itu selamat menjalani pembedahan berikutan pendarahan otak.

Menurut kenyataan United, pembedahan Ferguson berjalan lancar, tetapi legenda berusia 76 tahun itu memerlukan rawatan rapi untuk kembali pulih sepenuhnya.

Ferguson pernah memenangi keseluruhan 49 trofi sepanjang karier pengurusannya, termasuk di St Mirren dan Aberdeen dengan 38 daripadanya hadir ketika 27 tahun bersama United.

Bintang Real Madrid, Ronaldo yang mula menyinar ketika di bawah bimbingan Ferguson daripada 2003 hingga 2009 berharap bekas pengurusnya itu kembali sihat.

“Doa dan harapan saya buat anda, temanku. Kuatkan semangat, bos!” kata kapten Portugal itu dalam media sosialnya sambil berkongsi gambar kenangan bersama.

Beckham yang berada dalam skuad popular ‘kelas 1992’ bersama Ryan Giggs, Paul Scholes, Nicky Butt dan adik beradik Gary dan Phil Neville turut tidak ketinggalan.

“Teruskan berjuang bos. Doa saya bersama (isteri Ferguson) Cathy dan seluruh keluarganya,” kata Beckham menerusi Instagram miliknya dengan melampirkan gambar ketika menandatangani kontrak remaja dengan Ferguson berada di sisinya.

Ramai pemain dan bekas pemain United, termasuk Michael Carrick, Rio Ferdinand, Diego Forlan, Wayne Rooney dan David de Gea turut menyatakan sokongan.

Begitu juga musuh tradisi Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Manchester City, Arsenal, Chelsea, Tottenham Hotspur dan Liverpool.

Disiarkan pada: May 6, 2018 @ 11:06pm
d