arena

Kemboja mahu jadi 'pengacau'

Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Penyerang Kemboja, Chan Vathanaka percaya mereka boleh menjadi ‘pengacau’ kepada pasukan pilihan - Malaysia, Vietnam dan Myanmar dalam saingan bola sepak Kumpulan A Piala AFF, November depan.

Biarpun mengakui ada jurang berbanding tiga pasukan itu, dia yang kini mewakili pasukan Liga Super Pahang tetap menaruh harapan untuk melakukan kejutan.

“Saingan Kumpulan A sangat mencabar buat kami. Memang saya akui tahap kami tidak sama dengan pasukan seperti Malaysia, Vietnam dan juga Myanmar, tapi saya yakin kami boleh memberikan tentangan.

“Kami akan menggunakan peluang ini untuk meningkatkan permainan kerana Kemboja kali ini dibarisi ramai pemain muda. Jadi saya berharap kami boleh mencabar pasukan lain,” katanya semalam.

Selain, Malaysia, Vietnam dan Myanmar, Kemboja yang menamatkan saingan di kedudukan tercorot kumpulan tahun lalu turut akan bertemu Laos kali ini.

Pada kempen 2016 di Yangon, Myanmar, skuad kendalian Prak Sovannara itu tewas semua perlawanan dengan Malaysia (2-3), Myanmar (1-3) dan Vietnam (1-2).

Bagaimanapun, Vathanaka yang pernah beraksi dengan kelab liga divisyen tiga Jepun, Fujieda MYFC tahun lalu sebelum bersama Pahang menyumbat dua gol dalam perlawanan menentang Harimau Malaya.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 10:31am
d