arena

Ronaldo akan bangkit: Zidane

Oleh AFP

ZINEDINE Zidane yakin Cristiano Ronaldo kembali cergas untuk menghadapi final Liga Juara-Juara menentang Liverpool selepas bintang Real Madrid itu mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Barcelona, awal pagi tadi.

Ronaldo diasak keras ketika menjaringkan gol penyamaan Real pada minit ke-14 di Camp Nou. Bagaimanapun, penyerang itu meneruskan permainan sehingga tamat separuh masa pertama tetapi direhatkan pada babak kedua.

Real akhirnya seri 2-2 tanpa Ronaldo dengan Gareth Bale menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-72 selepas gerakan solo hebat Lionel Messi meletakkan Barca yang beraksi dengan 10 pemain mendahului lawan.

Sergi Roberto dibuang padang pada penghujung separuh masa pertama selepas Luis Suarez menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-9 dalam aksi sengit Clasico itu.

Kecederaan Ronaldo itu meresahkan pemain dan penyokong Real dengan bintang Portugal itu bertarung dengan masa untuk pulih menjelang final Liga Juara-Juara menentang Liverpool pada 26 Mei ini.

“Berapa lama masa diperlukan untuk pulih saya tak dapat beritahu tetapi itu adalah masalah kecil,” kata Zidane kepada wartawan.

“Tunggu esok selepas ujian dilakukan, kita perlu menilai tahap kecederaannya. Ronaldo sedikit risau melihatkan buku lalinya agak bengkak tetapi menurutnya ia hanyalah kecederaan kecil.”

Keputusan seri itu bermakna skuad Ernesto Valverde kini hanya tiga perlawanan lagi untuk mencipta sejarah dengan menjadi kelab pertama menamatkan 38 perlawanan musim La Liga tanpa kalah.

“Sudah pasti kecewa jika kalah kepada Real atau mana-masa pasukan lain,” kata Valverde. “Saya fikir kami satu-satunya pasukan yang belum kalah dalam liga utama Eropah dan itu salah satu faktor yang mendorong kami untuk mengekalkannya.”

Jaringan Bale adalah yang ke-15 daripada 24 perlawanan tahun ini dan pemain Wales itu berharap prestasinya itu membolehkan dia dapat beraksi di Kiev menentang Liverpool.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 11:33am
d