arena

Faiz berkorban demi pelajaran

Oleh Saiful Affendy Sapran

SELEPAS berkorban tidak membuat penampilan pada Sukan Komanwel di Gold Coast bulan lalu, pertahanan utama skuad hoki negara, Faiz Helmi Jali sedia untuk kembali beraksi pada siri jelajah Argentina dari 21 Mei hingga 3 Jun depan.

Faiz terpaksa melupakan saingan di Gold Coast kerana mahu menumpukan kepada pengajiannya di Universiti Malaysia (UM).

Kini pemain kelahiran Batu Pahat, Johor itu mengakui tidak sabar untuk kembali beraksi meskipun tidak dapat menyertai sepenuhnya kempen di Argentina kerana masih lagi terbabit dengan komitmen peperiksaan semester akhir.

“Semasa siri jelajah Argentina itu saya sebenarnya perlu menduduki peperiksaan semester akhir yang membabitkan empat kertas peperiksaan.

“Tapi saya sudah meminta pelepasan untuk dua subjek yang akan saya ambil kemudian. Bermakna saya dapat pergi bersama skuad negara pada awal siri jelajah dan kemudian pulang semula ke Malaysia untuk mengambil ujian dua kertas peperiksaan lagi,” katanya.

Tegas Faiz, dia berasakan perlu untuk bersama-sama pasukan ke Argentina kerana mahu mendapatkan semula prestasi terbaik di atas padang selepas kali terakhir beraksi pada perlawanan kompetitif.

“Saya perlu turun bermain kerana tak mahu berehat terlalu lama. Saya bimbang prestasi akan menurun.

“Sebab seperti semua pemain, saya juga sedang berusaha untuk mendapatkan tempat beraksi di Sukan Asia di Indonesia pada Ogos,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 4:39pm
d