arena

Tak payah tolong dia...

Oleh Helmi Talkah

TIADA sebab untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghulurkan bantuan kepada bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli dalam prosesnya mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati bersalah mengatur perlawanan. 

Bekas pemain perseorangan kebangsaan, Datuk James Selvaraj, berpendapat selepas apa yang dilakukan pemain berusia 25 tahun itu kepada BAM selama ini, tidak salah jika badan induk berkenaan tidak memberikan sebarang bantuan. 

"Kenapa sekarang tahu pula untuk meminta pertolongan BAM? Dulu, beberapa kali BAM memujuk dia untuk menyertai badan induk itu kerana memang dia seorang pemain yang berbakat. 

"Namun, dia tolak kerana mahu terus berlatih bersama bapanya (Zulkiffli Sidek). Apabila berdepan masalah sekarang ini, tahu pula dia nak minta tolong daripada BAM, persoalannya sekarang wajar ke BAM tolong dia?," kata James ketika dihubungi, hari ini. 

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM itu turut menegaskan penjelasan Zulfadli yang mengakui bermain judi di kasino bagi mempertahankan dirinya daripada tuduhan mengatur perlawanan adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan BAM perlu mengkaji secara mendalam perkara ini. 

"Setahu saya, BAM memang melarang sama sekali pemain mereka bermain judi di kasino. Jadi, mereka tidak seharusnya membantu Zulfadli yang secara terbuka mengaku bermain judi di kasino kerana ia boleh dianggap melanggar peraturan mereka sendiri. 

"Sebagai pemain atau atlet, mereka tidak sepatutnya bermain judi kerana ia memberi kesan kepada psikologi. Jika menang tidak mengapa, jika kalah?," soalnya. 

Mengulas lanjut, James berkata situasi berbeza dengan seorang lagi pemain yang turut didapati bersalah, Tan Chun Seang dengan menyifatkan BAM boleh mempertimbangkan jika pemain berkenaan memohon bantuan. 

"Chun Seang pernah bersama BAM sebelum ini dan dia juga membarisi skuad Piala Thomas pada 2010. Jika BAM mahu membantu dia, itu adalah sesuatu yang wajar. Namun, semuanya terpulang kepada BAM," katanya. 

Zulfadli dan Chun Seang dijatuhkan hukuman gantung 20 serta 15 tahun oleh BWF kerana didapati bersalah mengatur perlawanan. 

Selain itu, kedua-dua pemain berkenaan turut didenda masing-masing AS$25,000 (RM98,537) dan AS$15,000 (RM59,122). 

Zulfadli ketika sidang medianya, Jumaat lalu merayu pertolongan BAM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa penindasan BWF yang menjatuhkan hukuman tanpa bukti yang kukuh. 

Zulfadli dan Chun Seang dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan diumumkan tetapi perlu membayar penuh denda yang dikenakan terlebih dahulu.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 8:58pm
d