arena

Ozil tekad pulih sebelum Piala Dunia 2018

Oleh AFP

BERLIN: Mesut Ozil menyertai senarai bintang Jerman yang cedera ketika ini, namun pemain tengah Arsenal itu menegaskan hari ini dia akan kembali cergas untuk mempertahankan gelaran Piala Dunia di Russia.

“Sedih sekali apabila terlepas aksi semalam (Ahad) kerana kecederaan belakang,” kata Ozil menerusi Instagram selepas tidak beraksi ketika Arsenal membelasah Burnley 5-0 Ahad lalu.

“Ia memerlukan masa, namun saya pasti akan pulih sepenuhnya tepat untuk Piala Dunia.”

Berbaki lima minggu sebelum Piala Dunia pada 14 Jun, pengatur serangan Arsenal itu menyertai Manuel Neuer dan Jerome Boateng yang turut mengejar masa untuk pulih daripada kecederaan.

Pengurus Arsenal Arsene Wenger mendedahkan sebelum sepak mula bahawa Ozil dijangka tidak beraksi sehingga penghujung musim kerana sakit belakang.

Perlawanan pertama Jerman pada peringkat kumpulan adalah menentang Mexico pada 17 Jun. Mereka juga akan menentang Sweden dan Korea Selatan dalam Kumpulan F.

Neuer, kapten dan penjaga gol Jerman tidak beraksi sejak tulang kakinya retak September lalu.

Bek tengah Boateng pula cedera pangkal paha pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara ketika tewas kepada Real Madrid dua minggu lalu.

Jurulatih Jerman Joachim Loew akan mengumumkan skuad Piala Dunia pada 15 Mei.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 4:55am
d