arena

Mana hilang penyerang tempatan?

Oleh Aziman Rosdi

PERSAINGAN merebut Anugerah Kasut Emas semakin rancak dalam kalangan pemain ketika saingan bola sepak Liga Super menghampiri pusingan kedua.

Namun malangnya kerancakan itu tidak membabitkan pemain tempatan selepas kedudukan 10 penjaring terbanyak setakat ini jelas didominasi penyerang import.

Selepas perlawanan kesembilan liga, penyerang Selangor kelahiran Sepanyol berusia 33 tahun, Rufino Segovia muncul penjaring terbanyak dengan tujuh gol diikuti lima pemain berkongsi enam gol iaitu Gilmar (Perak), Yahor Zubovich (Melaka United), Kipre Tchetche (Terengganu) dan Sandro Da Silva Mendonca (Kedah).

Pemain terbaik tempatan ketika ini adalah penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT) Safawi Rashid yang meledak tiga gol untuk berkongsi kedudukan dengan tujuh lagi pemain import di kedudukan ke-13.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Lim Chan Yew, jurang pemain import dan tempatan itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana kecenderungan pasukan untuk memberi lebih peluang kepada pemain luar beraksi.

“Ini sudah boleh dijangka, kebanyakan pasukan menggunakan penyerang import. Mana-mana pasukan akan bimbang jika penyerang import mereka tidak menjaringkan gol, tapi kalau penyerang tempatan, ia tidak menjadi isu.

“Kita lihat dalam tempoh lima bulan ini, jika ada pemain import tak menyerlah, pasukan akan kelam kabut tukar, tapi kalau pemain tempatan tak menyerlah, kita tak akan cari lain,” katanya.

Gelaran penjaring terbanyak Liga Super sudah dikuasai pemain import selepas kali terakhir diungguli pemain tempatan Abdul Hadi Yahya dari Terengganu pada 2011.

Sehubungan itu, Chan Yew berharap akan ada perubahan positif buat pemain tempatan pada saingan kedua liga terutama membabitkan penyerang muda.

“Setakat ini penyerang yang kerap diberi peluang beraksi adalah Safawi, Ahmad Hazwan Bakri (JDT) jadi kita berharap pemain lain seperti Firdaus Chew (PKNS FC), Syafiq Ahmad akan dapat bersaing juga,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 2:25pm
d