arena

Sharbinee sudah sedia

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

BEKAS penjaga gol kebangsaan dan Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli mengharapkan ada sinar baharu buatnya untuk kembali ke kancah Liga Malaysia (Liga M).

Sharbinee berkata selepas tersisih hampir setahun susulan masalah kesihatan, dia kini sudah bersedia sepenuhnya untuk kembali mengerah kudrat. 

“Selepas menjalani pemulihan kira-kira empat atau lima bulan lalu, Alhamdulillah saya rasakan keadaan fizikal sudah kembali seperti biasa.

“Sebelum ini memang ada tawaran tetapi belum sedia sepenuhnya yang memaksa saya tangguhkan hasrat untuk kembali beraksi. Tetapi kini saya memang mahu kembali beraksi,” katanya. 

“Saya sudah kembali berlatih sejak Januari lalu. Ketika ini saya sudah bersedia dan sebab itu saya mahu mencari pasukan. Jadi saya akan manfaatkan peluang yang ada dan berharap dapat kembali.”

Jendela perpindahan pemain dibuka sejak Isnin lalu sehingga 3 Jun depan.

Sebelum ini, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel menyatakan kesediaan untuk beri peluang kepada Sharbinee membuktikan kemampuannya.

Sharbinee sempat menyertai latihan Kuala Lumpur selama dua hari dan akan meneruskan sesi seterusnya esok.

 

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 2:53pm
d