arena

Nauraj tekad perbaiki reputasi

Oleh Jumiati Rosly

SELEPAS menerima kritikan hebat pada Sukan Komanwel Gold Coast bulan lalu, atlet lompat tinggi negara Nauraj Singh mahu mengembalikan reputasinya pada kejohanan olahraga Terbuka Malaysia hujung minggu ini dengan menyasarkan untuk melakukan catatan peribadi terbaik musim ini.

Pemenang pingat emas tiga temasya Sukan SEA berturut-turut - Sukan SEA Myanmar 2013, Singapura (2015) dan Kuala Lumpur 2017 - Nauraj berkata, dia kini semakin yakin untuk membuktikan semula kemampuannya.

“Di Jepun (kejohanan Jemputan Mito) minggu lalu, saya dapat semula rentak dalam teknik lompatan saya.

“Biarpun saya melakukan lompatan 2.21 meter tapi matlamat sebenar saya di sana sebenarnya adalah untuk mendapatkan kembali rentak teknikal dan saya gembira apabila dapat melakukannya,” katanya kepada Sukan NSTP.

Untuk rekod, Nauraj memegang rekod kebangsaan apabila melakukan 2.30m pada Terbuka Singapura pada April tahun lalu.

Ketinggian 2.21m itu membolehkan atlet berusia 26 tahun itu menjuarai acara lompat tinggi lelaki dalam saingan di Mito, wilayah Ibaraki, Sabtu lalu.

Acara lompat tinggi Terbuka Malaysia akan dipertandingkan Sabtu ini dengan Nauraj pastinya akan mendapat tentangan sengit rakan senegara, Lee Hup Wei yang menjuarai Terbuka Malaysia sebanyak tujuh kali selaku pemenang terbanyak acara lompat tinggi.

Di Gold Coast bulan lalu, Nauraj yang juga atlet Program Podium menduduki tangga ke-10 dengan 2.18m berbanding Hup Wei di tangga kelapan dengan catatan 2.21m.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 2:57pm
d