arena

Hanya satu pasukan Liga Perdana tersingkir?

Oleh Syafiq Aznan

 

ZON penyingkiran Liga Perdana pada musim ini dilihat akan mencuri tumpuan selepas hanya satu pasukan yang bakal tersingkir ke saingan Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada musim hadapan.

Ia susulan hanya 11 pasukan yang kekal bersaing dalam divisyen dua itu musim ini selepas pasukan penuh kontroversi, Kuantan FA ‘ditendang keluar’ akibat pembatalan penyertaan sekali gus menyaksikan pasukan di tangga ke-11 bakal tersingkir pada musim hadapan.

Mengesahkan perkembangan itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjelaskan langkah untuk menyingkirkan satu pasukan sahaja disifatkan sebagai pilihan terbaik berbanding cadangan untuk mengugurkan dua pasukan seperti kebiasaan sebelum ini.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menyatakan ia bukanlah keputusan yang rasmi kerana keputusan muktamad hanya dapat diputuskan dalam mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah yang dijadual berlangsung bulan hadapan.

“Membabitkan cadangan untuk menggugurkan satu pasukan sahaja, itu adalah kehendak pengurusan namun keputusan muktamad masih lagi bergantung menerusi mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah MFL,” kata Kevin.

“Penyingkiran satu pasukan akan menyaksikan dua pasukan akan dipromosi dari Piala FAM sama seperti sebelum ini jadi jika dua pasukan Liga Perdana disingkirkan, sudah tentu kita perlu menaikkan tiga pasukan dari Piala FAM musim hadapan.

“Perkara ini akan menimbulkan situasi yang lebih kompleks terutamanya bagi menentukan satu lagi pasukan yang akan mengiringi dua pasukan yang dipromosi secara automatik.”

Mengulas lanjut mengenai kebarangkalian saingan Liga Perdana akan bertukar kurang sengit susulan hanya satu pasukan yang akan tersingkir, Kevin menegaskan situasi itu tidak akan berlaku.

“Kalau kita lihat sendiri, kedudukan beberapa pasukan di tangga tercorot adalah begitu rapat jadi sudah tentu mereka akan berusaha keras untuk mengelak daripada zon penyingkiran.

“Untuk itu, saingan akan tetap sengit kerana pasukan akan terus menyajikan persembahan yang terbaik demi mengutip mata sekali gus memperbaiki kedudukan masing-masing,” katanya.

Setakat ini, kedudukan Liga Perdana menyaksikan Terengganu FCII (TFC) menghuni tangga kesembilan dengan 10 mata, Johor Darul Ta’zim (JDTII) di tangga ke-10 dengan tujuh mata, berkongsi jumlah pungutan mata yang sama dengan UKM FC di tangga ke-11 namun berkelebihan daripada segi perbezaan jaringan.

 

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 4:08pm
d