arena

Pemain Malaysia pun bagus - Yong

Oleh Syafiq Aznan

KEJAYAAN kapten skuad futsal kebangsaan, Khairul Effendy Bahrin mencipta nama bersama pasukan SKN Kebumen di Indonesia membuktikan betapa pemain futsal tempatan mampu untuk memberi saingan di peringkat lebih tinggi.

Justeru, pengendali skuad futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong menyarankan anak buahnya supaya mengambil peluang untuk beraksi bersama pasukan luar dengan beliau optimis pencapaian Khairul dapat menjadi ‘magnet’ bagi menarik perhatian pasukan luar terhadap khidmat pemain futsal negara.

Katanya, dia juga berbangga selepas menjadi antara tulang belakang yang ‘memaksa’ Khairul untuk beraksi di negara jiran itu bagi membuktikan betapa Malaysia memiliki pemain futsal yang berkualiti dan menggalakkan pemainnya supaya mencari peluang bersama pasukan luar.

“Sebenarnya beberapa pemain Malaysia memiliki kualiti lebih baik berbanding Indonesia namun tidak dinafikan, beraksi bersama pasukan luar sudah tentu akan membantu meningkatkan pemain dari aspek keyakinan, mentaliti dan juga mudah menyesuaikan diri dengan pelbagai corak permainan.

“Itu yang saya mahukan kerana ia bukan setakat membantu skuad futsal kebangsaan namun akan membantu menaikkan ‘saham’ pemain futsal negara ini sekali gus menjadikan mereka lebih dikenali.

“Selepas Thailand dan Indonesia, saya mahukan pemain beraksi di negara lain Asia Tenggara. Saya mahu membuka mata semua orang betapa kualiti futsal di negara kita sudah menjadi bertambah baik.

“Saya percaya barisan pemain saya mampu menyesuaikan diri bersama pasukan luar dan kalau ada tawaran, saya harapkan mereka dapat mengambilnya dengan tujuan memajukan kualiti permainan masing-masing,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Sukan NSTP melaporkan Khairul yang lebih dikenali sebagai Ayon berjaya menjadi tumpuan apabila membantu pasukan dari Indonesia, SKN Kebumen menjadi naib juara Liga Futsal Pro Indonesia (PFL) 2018 pada musim pertamanya bersama pasukan itu.

Malah, Ayon turut menjadi wira apabila meledak jaringan voli menarik ketika perlawanan berbaki empat saat pada aksi separuh akhir sekali gus membolehkan pasukan mereka menundukkan Black Steel Manokwari 2-1 untuk menempah tiket ke final.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 4:52pm
d