arena

Edmund atasi Djokovic, Nadal mara

Oleh AFP

NOVAK Djokovic tersingkir di tenis Terbuka Madrid, semalam selepas pemenang 12 kali gelaran Grand Slam itu tewas dalam aksi tiga set kepada pemain Britain, Kyle Edmund.

Edmund tidak pernah memenangi sebarang set dalam tiga pertemuan terdahulu bertemu Djokovic tetapi pemain dari Serbia itu jelas masih diganggu dengan pembedahan siku yang dilakukannya sebelum ini.

Kelebihan itu digunakan sepenuhnya Edmund, 23, yang kemudian meraih kemenangan 6-3, 2-6, 6-3. 

Ini kali ketiga Edmund berjaya menewaskan pemain di kedudukan ranking 12 ke atas dan daripada sudut status, Djokovic jelas berada di tahap yang berbeza.

“Kyle bermain dengan lebih baik pada masa yang penting dan tuah tidak memihak saya,” kata Djokovic. “Sudah pasti Kyle bermain permainan tenis terbaik dalam hidupnya.”

Lawan Edmund di peringkat seterusnya ialah pemain Belgium, David Goffin.

Sementara itu, pemain nombor satu dunia, Rafael Nadal meneruskan rentak kemenangan di gelanggang tanah liat kepada 48 set berturut-turut selepas menewaskan Gael Monfils 6-3, 6-1.

Pemain dari Sepanyol itu yang sudah pun menjulang gelaran ke-11 di Monte Carlo dan Barcelona musim ini turut merakam kemenangan ke-20 berturut-turut di gelanggang tanah liat.

Lawannya selepas ini sama ada rakan senegara, Feliciano Lopez atau pemain Argentina, Diego Schwartzman bagi memburu tempat ke suku akhir.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 1:51am
d