arena

'Kami pun manusia'

Oleh Jugjet Singh

Kuala Lumpur: Tiada pengadil yang sempurna kerana lumrah manusia pasti ada kesilapan yang dilakukan.

Demikian pandangan pengadil veteran, Amarjit Singh ketika ditanya pendapatnya mengenai penggunaan rujukan video (video referral) dan perasaan seseorang pengadil itu apabila keputusannya didapati silap selepas dirujuk menerusi ulang tayang video.

Amarjit yang juga Pengerusi Pengadil Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sudah melaluinya ketika mengendalikan perlawanan di peringkat sekolah, Trofi Juara-Juara sehingga ke Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

“Tiada pengadil yang sempurna kerana kami juga ada melakukan kesalahan. Sebab itu kami memerlukan kamera untuk melihat dari pelbagai sudut apabila ingin membuat keputusan penting,” katanya.

Amarjit pernah mengendalikan perlawanan Piala Dunia di Utrecht pada 1998, Kuala Lumpur 2002, Moenchengladbach 2006 dan New Delhi 2010.

Beliau juga menjadi pengadil untuk Sukan Olimpik Sydney 2000, Athens 2004 dan Beijing 2008.

Ditanya bagaimana perasaan seseorang pengadil itu apabila keputusan yang dilakukan tidak tepat, Amarjit berkata: “Kadang-kadang pemain mendapat keputusan yang betul banyak kali dan sekiranya keputusan yang dibuat silap sudah tentu ia memberi kesan kepada pengadil yang mengendalikan perlawanan itu.

“Tapi kami ‘diprogram’ untuk meneruskan tugas yang diberikan dan tidak terbawa-bawa sepanjang perlawanan.”

Amarjit berasakan ia mungkin dilihat mudah pada pandangan penyokong di tempat duduk penonton berbanding pengadil yang mengendalikan satu-satu perlawanan.

“Penonton mempunyai sudut pandangan lebih jelas dan mereka juga tidak berdepan sebarang tekanan. Setiap penonton di stadium mempunyai banyak sudut pandangan untuk membuat penilaian.

“Bagi pengadil pula, pandangan kami kadang-kadang terhalang oleh pemain lain dan keputusan yang tepat perlu dilakukan dalam sekelip mata.

“Sekiranya ada rujukan video, pengadil tidak perlu menunggu pemain untuk memohonnya kerana pengadil juga boleh memohon apabila pandangan mereka terhalang.”

Amarjit secara peribadi bersetuju sekiranya penggunaan rujukan video diaplikasikan dalam setiap perlawanan terutama di Liga Hoki Malaysia (LHM).

“Secara peribadi jika ada bajet, rujukan video seharusnya digunakan di semua perlawanan dan bukan hanya ketika saingan suku atau separuh akhir.

“Sebab kesalahan dapat diatasi pada awal saingan. Untuk berlaku adil kepada semua pasukan, rujukan video mesti bermula sejak hari pertama pertandingan lagi,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 4:01am
d