arena

Tok Gajah perlu waspada layan TFC

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Skuad Pahang yang berada di tangga ketiga Liga Super akan berhati-hati apabila melayan kunjungan Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Makmur, esok.

Kemenangan ke atas skuad Penyu akan membantu Tok Gajah untuk kembali merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pada masa sama, skuad kendalian Dollah Salleh berazam memintas Perak yang hanya berbeza satu mata, manakala JDT pula memiliki kelebihan enam mata di puncak liga.

Pemain pertahanan, Mohd Faisal Rosli (gambar) atau Tocang berkata, skuad itu akan memastikan kelebihan beraksi di laman sendiri berakhir dengan kemenangan.

“Sebenarnya, kegagalan meraih kemenangan ke atas Kedah selepas sekadar seri 2-2 pada 5 Mei lalu begitu menghampakan,” kata Faisal.

“Tetapi kami tidak boleh berasa kecewa. Bagi menebus kekecewaan itu, kami perlu bangkit dan mempamer prestasi lebih meyakinkan untuk mengutip tiga mata.”

Menurut Faisal, kemenangan 3-1 ke atas TFC pada aksi pusingan pertama liga akan dijadikan motivasi terbaik untuk mengulangi pencapaian itu.

“Apa yang perlu kami fokuskan adalah memastikan jentera serangan yang diketuai Patrick Cruz dapat membolosi gawang TFC.

“Tapi kami tidak boleh memandangkan mudah keupayaan lawan yang pasti mahu meraih mata,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 4:06am
d