arena

KAFA belum pasti ikat <strong>Omar</strong>

Oleh Attirmidzie Rahman

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) belum memutuskan sama ada bakal mengikat penyerang muda Syria, Omar Maher Kharbin pada jendela perpindahan kedua musim ini.

Bagaimanapun, badan induk bola sepak negeri itu tidak menolak kemungkinan pemain berusia 24 tahun berkenaan bakal menyertai The Red Warriors (TRW) sekiranya dipersetujui ketua jurulatih pasukan, Fajer Ebrahim.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, keputusan untuk mengambil pemain baru khususnya import akan dibincang terlebih dulu dengan Fajer.

“Mengenai Omar itu belum pasti lagi, tetapi saya akan berbincang dulu perkara itu termasuk semua perancangan perpindahan keluar dan masuk bersama Fajer,” kata Bibi Ramjani.

“Setakat ini yang sah tiada dalam perancangan pasukan adalah Amiridzwan Taj, Badhri Radzi, Morgaro Gomis dan Veenod seperti yang sudah dimaklumkan sebelum ini.”

Terdahulu, desas-desus TRW mahu beralih angin mendapatkan Omar Maher dari Syria hangat diperkatakan beberapa laman sosial penyokong pasukan setakat ini.

Untuk rekod, Omar yang memiliki ketinggian 184 sentimeter sebelum ini beraksi bersama pasukan liga utama Arab Saudi, Al-Hilal.

Pemain kelahiran Damsyik itu juga pernah mewakili skuad kebangsaan Syria dan membuat 36 penampilan bersama negaranya.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani memaklumkan masa depan pemain sensasi Lubnan, Mohamad Ghaddar dan pemain Korea Selatan, Do Dong Hyun bersama TRW juga tidak panjang susulan kedua pemain ini tiada dalam perancangan Fajer.

“Ghaddar mungkin digugurkan sementara Dong Hyun juga setakat ini memang tiada dalam senarai pemain Fajer.

“Jadi, mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat mereka boleh berurusan dengan kami selepas ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 4:20am
d