arena

TFC sasar benam Tok Gajah

Oleh Malik Muhamad

LUKA dimalukan skuad Pahang di laman sendiri dalam aksi Liga Super pada awal Mei lalu masih lagi berbekas,  justeru pemain Terengganu FC (TFC)  berhajat mahu menebus kekecewaan itu apabila sekali lagi bertemu skuad Tok Gajah itu pada malam esok.

Pemain sayap TFC,  J Partiban berkata, biarpun beraksi di Stadium Darul Makmur,  Kuantan yang menjadi gelanggang keramat mereka, tapi pemain berusia 26 tahun itu tetap berkeyakinan strategi yang diterapkan barisan  jurulatih yang diketuai Irfan Bakti Abu Salim pasti menjadi. 

Pemain kelahiran Perak itu juga yakin kehadiran semula penyerang utama, Kipre Tchetche yang baru pulih daripada kecederaan bakal menambah sengat di jentera serangan pasukan dalam misi mengutip tiga mata selepas kecundang di laman sendiri dalam aksi pertama. 

"Sasaran kami ke Stadium Darul Makmur adalah untuk menang sekali gus menebus kekecewaan dalam aksi pusingan pertama, apa yang saya harapkan rakan sepasukan termasuk saya sendiri berupaya mempamerkan keupayaan sebenar dalam perlawanan itu dan lebih penting tidak tertekan dengan asakan pihak lawan.

"Saya juga turut mengharapkan jentera serangan yang diketuai Tchetche mampu meledak jaringan awal bagi memberi tekanan kepada lawan yang sudah pasti mahu menambah derita pasukan kami, " kata Partiban yang juga penjaring gol tunggal skuad Penyu itu ketika bertemu Pahang tempoh hari. 

Pada 1 Mei lalu, skuad yang terkenal dengan slogan Peteh Terengganu Peteh itu tumpas 1-3 kepada Pahang dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.

Episod kekalahan itu terus menghantui pemain TFC apabila mengalami kekalahan kedua lima hari selepas itu kepada Perak dengan keputusan 2-3. 

Mengulas lanjut, Partiban yang kini merekod dua jaringan dalam aksi Liga Super bagaimanapun mengakui bukan tugas mudah buat pasukannya untuk meruntuh 'tembok' yang dibina skuad Tok Gajah jika tidak menggunakan strategi lebih ampuh. 

"Selain itu barisan penyerang mereka yang diketuai Patrick Cruz juga dilihat semakin berbisa jika tidak dikawal rapi, tapi saya berkeyakinan strategi yang diatur barisan jurulatih mampu memerangkap skuad kendalian Dollah Salleh itu, " kata Partiban yang menyertai skuad TFC sejak musim lalu.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 6:05pm
d