arena

PBNP hantar Azim lawan Hamidin 

Oleh Aziman Rosdi

SEHARI sebelum tarikh pencalonan bagi merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berakhir, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) membuat kejutan apabila mencalonkan Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.   

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Azim yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) akan menentang calon pilihan, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam pertembungan satu lawan satu pada Kongres Tahunan FAM, 14 Julai depan.   

Sebelum ini, 18 ahli gabungan sudah menyatakan pendirian mencalonkan Hamidin manakala PBNP dan Kuala Lumpur bersikap berdiam diri.   

Menurut Naib Presiden PBNP, Datuk Akbar V V Abu, mereka membuat keputusan mencalonkan Azim yang baru memenangi jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), minggu lalu itu berdasarkan pengalaman yang dimilikinya.   

"PBNP sudah mengemukakan pencalonan Datuk Seri Abdul Azim bagi jawatan presiden bagi penggal 2018-2021 di Kongres Tahunan FAM.   

"Pencalonan Azim ini berdasarkan pengalaman yang luas dimiliki beliau dan diyakini akan dapat memikul amanah serta tanggung jawab sebagai Presiden FAM.   

"Kepimpinan beliau juga akan membantu FAM dalam mencapai matlamat ke arah kegemilangan bola sepak negara seperti yang disasarkan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.   

Pada bulan lalu, Exco FAM sebulat suara menerima peletakan jawatan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas hanya setahun menerajui badan induk bola sepak tanah air itu.   

Dalam mesyuarat khas itu turut menyaksikan timbalan presiden, Datuk Yusoff Mahadi dilantik sebagai pemangku presiden seperti yang disyorkan oleh Tunku Ismail sementara menunggu pelantikan presiden baharu.   

Tunku Ismail yang kini menjadi Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyatakan sokongan kepada Hamidin untuk menjadi pengganti beliau dan cadangan itu turut disambut baik oleh Exco FAM.

Disiarkan pada: May 10, 2018 @ 7:22pm
d