arena

Rooney setuju ke MLS

Oleh AFP

WAYNE Rooney bersetuju secara prinsip untuk menyertai kelab Major League Soccer, DC United dari kelab Liga Perdana Inggeris, Everton, menurut laporan semalam.

Difahamkan perjanjian bernilai £12.5 juta (RM66.7 juta) sudah dipersetujui dan mungkin menyaksikan pemain berusia 32 tahun itu meninggalkan kelab masa kecilnya hanya 12 bulan selepas kembali dari Manchester United.

Laporan menyatakan Rooney ditawarkan kontrak hingga hujung musim 2020, sekalipun jendela perpindahan MLS tidak dibuka hingga Julai depan.

“Dalam MLS anda sering mendapati pemain ikon yang akan menamatkan karier mereka di sana,” kata pengurus Manchester United, Jose Mourinho, yang melatih Rooney pada musim terakhirnya di Old Trafford.

“Anda ada (Steven) Gerrard, (Frank) Lampard, (Patrick) Vieira... kini anda ada Zlatan (Ibrahimovic), anda ada Wayne, jadi saya harap dia menikmatinya.

“Sudah tentu dia akan menjadi tumpuan yang diperlukan MLS untuk menarik minat lebih ramai, mencuri peminat dari sukan lain yang lebih diminati rakyat Amerika.”

DC United ketika ini menghuni tangga tercorot carta Eastern Conference MLS dengan lima mata daripada tujuh perlawanan.

Awal minggu ini, pengurus Everton, Sam Allardyce menyatakan beliau mahu penjaring gol terbanyak England dan Manchester United itu memenuhi tahun terakhir kontraknya musim depan.

“Ada khabar angin mengenai Wayne ke luar negara, China atau Amerika. Ia memerlukan sesuatu yang besar buatnya untuk meninggalkan Everton,” ujar bos Toffees itu. - AFP

Disiarkan pada: May 11, 2018 @ 8:07am
d