arena

Guardiola mahu Aguero kekal

Oleh AFP

PEP Guardiola tidak mahu Sergio Aguero meninggalkan Manchester City dan memberitahu penyerang Argentina itu dia boleh kekal bersama juara Liga Perdana Inggeris itu selama mana dimahukannya.

Laporan dari Sepanyol menyebut bekas kelab Aguero, Atletico Madrid berminat untuk mengikatnya semula sebelum awal musim depan.

Hubungan Aguero dengan Guardiola menjadi subjek perbualan selepas laporan menyatakan kedua-duanya bertelagah sebelum ini.

Namun pengurus City itu menegaskan Aguero, yang akan berusia 30 tahun bulan depan, boleh kekal dengan pasukan yang mana dia menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang zaman dengan 199 gol.

“Saya fikir ia tidak akan berlaku. Impian saya ia tidak akan berlaku, tapi saya tidak tahu,” kata Guardiola mengenai laporan minat Atletico terhadap Aguero.

“Ia banyak kali berlaku dalam sidang akhbar ini dan saya mungkin sudah katakan beribu kali, Sergio akan kekal hingga dia berasakan masanya sudah tiba.

“Saya katakannya musim lalu dan musim ini beberapa kali dan saya katakannya juga hari ini. Itulah sebabnya kenapa saya kata ia tidak akan berlaku, tapi dalam bola sepak anda tidak pernah tahu.”

City mengikat Aguero dari Atletico pada 2011 dan dia menjadi antara kunci utama kejayaan kelab itu, yang kini termasuk tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Sekalipun diketepikan kerana kecederaan lutut, Aguero dijangka kembali cergas tepat pada masanya bagi Piala Dunia dan mempunyai kontrak di Etihad hingga 2020.

Secara terbuka, dia pernah menyatakan keinginannya untuk kembali ke Argentina dan bermain dengan kelab masa kecilnya Independiente sebaik kariernya bersama City berakhir.

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 9:53am
d