arena

Emas kelima Hakimi

Oleh Aida Adilah Mat

BIARPUN tidak berpuas hari dengan catatan dilakukan, atlet lompat kijang negara Hakimi Ismail berjaya merangkul emas kelima berturut-turut di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, hari ini.

Hakimi yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan 16.01 meter (m) untuk menewaskan atlet Kuwait, Khaled Alsubaie (15.70m) di tempat kedua, Lau Jit Sung dari Perak meraih gangsa dengan 14.78m.

Bagi Hakimi, Terbuka Malaysia adalah kejohanan tepat untuknya mencuba teknik baru dan menganalisa lompatan bagi mendapatkan lompatan terbaik selain cuba membandingkan teknik digunakannya atlet bertaraf dunia yang lain.

“Selepas Komanwel, banyak saya kaji teknik lompatan atlet lain. Saya lihat mereka lompat di Youtube dan cuba mempraktikkannya di Terbuka Malaysia.

“Pertandingan seperti ini sangat bagus untuk saya mencuba sebelum ke kejohanan lebih besar. Bila di kejohanan besar sudah tiada masa untuk mencuba teknik baru. Masa latihan juga tidak sesuai kerana suasana latihan dan pertandingan tak sama,” katanya.

Katanya tempoh tiga bulan yang ada sebelum temasya Sukan Asia bermula adalah masa terbaik untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

Justerus atlet kelahiran Taiping Perak itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga lagi kejohanan sebelum beraksi di Sukan Asia.

Hakimi, 27, melakukan lompatan emas pada lompatan terakhirnya kini menunggu lampu hijau daripada Program Podium untuk mendapat pelepasan ke Lavia, Finland hujung bulan ini.

Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 16.77m itu turut berharap dapat berkampung di Eropah sebagai persediaan awal sebelum ke Indonesia.

“Saya memang perlu menyertai beberapa lagi pertandingan untuk berada di kemuncak prestasi sebenar.

“Sekarang masih ada tiga bulan. Waktu yang tepat untuk saya mencapai tahap kemuncak prestasi adalah dekat dengan kejohanan,” katanya. 

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 7:56pm
d