arena

Rayzam sumbang emas

Oleh Aida Adilah Mat

PELARI 110 meter (m) lari berpagar negara, Rayzam Syah Wan Sofian membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri apabila menyumbangkan emas buat Sabah biarpun beraksi dalam keadaan tidak cergas sepenuhnya di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia. 

Rayzam menamatkan larian 14.12 saat (s) untuk emas, menewaskan pencabar utama dari Kuwait, Al Youha Yaqoub, 14.17s manakala pelari Filipina, Clinton Kingsley Bautista, ketiga 14.27s. 

Tegas pemenang pingat emas temasya Sukan SEA Kuala Lumpur itu, pada mulanya dia ingin menarik diri kerana keadaan fizikal tidak mengizinkan apabila dua kali mengalami kekejangan otot berikutan terlalu lama menunggu sebelum acara akhir dilangsungkan selepas ditunda hampir dua jam. 

"Saya pada mulanya ingin menarik diri dan mood untuk berlari juga sudah hilang apabila lebih daripada satu jam perlumbaan ditunda. Tapi tak boleh salahkan keadaan sebab hujan.

"Dua kali saya mengalami kekejangan otot ketika sesi memanaskan badan tapi saya gagahkan belari juga kerana ada Al Youha dan juga pelari dari Korea," katanya yang merekodkan catatan terbaik musim ini, 14.01s di Kejohanan Pra Sukan Asia di Indonesia, Februari lalu. 

Keputusan Rayzam itu ternyata berbaloi apabila dia meraih emas dan buat pertama kali dapat menewaskan Al Youha yang juga pencabar utama di Sukan Asia, Ogos ini. 

"Biarpun catatan kurang memberangsangkan tapi saya gembira dapat tewaskan lawan dari Kuwait itu. Ini pertama kali saya dapat menewaskannya. 

"Saya harap selepas ini dapat merekodkan catatan lebih pantas iaitu di bawah 14 saat di Jerman nanti," katanya yang akan berlepas ke negara itu, minggu depan. 

Pelari kelahiran Sabah itu yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 13.67s dijangka menyertai lima kejohanan sepanjang  berada di Jerman.

Dia akan turut berlari di pertandingan sama ketika mencatat rekod kebangsaan tahun lalu iaitu di Kejohanan Kurpfalz Gala di Weinheim, Jerman namun tidak berani berjanji mampu mengulangi pencapaian itu.

Sementara itu dalam acara 100m lari berpagar wanita Raja Nursheena Raja Azhar dinobatkan pemenang emas selepas mencatatkan 13.93s, menewaskan pelari Singapura Nur Izlyn Zaini (14.41s) dan pelari Korea ketiga, Jo Eun Ju (14.45s).

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 9:50pm
d