arena

'Usah menangis, saya akan kembali...'

Oleh Reuters

SAO PAULO, Brazil: Sehari selepas diketepikan daripada tugasan Piala Dunia 2018 susulan kecederaan lutut, pertahanan Brazil, Dani Alves menghantar mesej penuh inspirasi kepada peminatnya: “Jangan menangis untuk saya dan saya akan kembali.”

Alves, yang beraksi dengan Paris Saint-Germain, dikeluarkan pada hujung perlawanan final Piala Perancis, Rabu lalu ketika kelabnya menang 2-0 ke atas kelab kerdil Les Herbiers.

Doktor berkata, dia boleh tersisih selama enam bulan berikutan kecederaan serius di lutut kanannya.

Namun Alves yang sudah memenangi tiga trofi Liga Juara-Juara, Copa America dan gelaran liga di Sepanyol, Itali dan Perancis tidak mahu dirinya dibelenggu dengan kesedihan.

“Saya tidak mahu sesiapapun menangis kerana saya. Saya tidak mahu sesiapapun berasa kasihan terhadap saya. Saya menikmati kehidupan saya ketika ini,” katanya.

Pernah beraksi bersama kelab gergasi Sepanyol, Barcelona dan Juventus, Alves turut berkata, Brazil boleh memenangi Piala Dunia buat kali keenam di Russia.

Sekalipun sudah berusia 35 tahun, pertahanan kanan itu berkata, dia masih memasang impian untuk berada di Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Saya tidak melihat diri saya sebagai veteran. Seperti yang anda lihat, semangat saya seperti seorang yang berusia 13 tahun. Siapa tahu, mungkin pada Piala Dunia 2022, saya masih boleh bersaing untuk merebut tempat dalam pasukan.

“Badan saya akan berusia 39 tahun tapi semangat saya baru mencecah usia 17 tahun.”

Disiarkan pada: May 13, 2018 @ 8:17am
d