arena

Zulfadli kemuka rayuan sebelum 21 Mei

Oleh Helmi Talkah

 

PEMAIN badminton profesional negara, Zulfadli Zulkiffli sudah bersedia untuk membela diri selepas didapati bersalah mengatur perlawanan dan akan mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam masa terdekat.

Bekas juara remaja dunia itu berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada peguamnya berhubung proses rayuan kepada badan induk badminton dunia itu.

 Ditanya sama ada dia sudah bersedia dengan semua bukti bagi mempertahankan dirinya selepas mendakwa BWF tidak mempunyai bukti kukuh ketika menjatuhkan hukuman sebelum ini, Zulfadli berkata: “Saya serahkan semua kepada peguam saya.

“Saya berdoa agar rayuan dibenarkan oleh BWF. Saya akan mengemukakan rayuan sebelum 21 Mei ini,” kata Zulfadli ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsaap.

Zulfadli yang digantung 20 tahun dan denda AS$25,000 (RM98,000) kerana bersalah mengatur perlawanan menerima perkhabaran gembira apabila BWF memaklumkan yang dia tidak perlu menjelaskan bayaran denda berkenaan bagi mengemukakan rayuan.

 Sebaliknya, denda hanya perlu dibayar sebaik proses rayuan selesai.

 “Peguam saya sebelum ini menulis kepada BWF dan meminta untuk penangguhan pembayaran denda sehingga rayuan didengar. Syukur, permohonan itu sudah dibenarkan oleh BWF,” kata Zulfadli yang juga bekas juara remaja Asia.

 Ketika sesi pendengaran kes berkenaan dijalankan di Singapura pada 26 dan 27 Februari lalu, Zulfadli diwakili peguam, Datuk Joshua Kevin dan pasukannya daripada Kevin & Co.

 Pemain berusia 25 tahun itu ketika sidang medianya dua minggu lalu menafikan dia terbabit dengan kegiatan mengatur perlawanan dan mendakwa menjadi mangsa penindasan BWF yang menjatuhkan hukuman tanpa bukti kukuh selain tidak diberi keadilan yang sewajarnya bagi membela diri.

 Bagaimanapun, menurut laporan penuh tiga ahli panel bebas dilantik BWF yang diketuai James Kitching selain Sylvia Schenk dan Annabel Pennefather yang mengadili sesi pendengaran di Singapura mendapati Zulfadli dan seorang lagi pemain, Tan Chun Seang terbabit mengatur perlawanan dalam enam kejohanan iaitu Grand Prix Emas Terbuka London 2013, GP Terbuka Belanda 2013, GP Emas Terbuka Korea, GP Terbuka Macau 2014, GP Terbuka Amerika Syarikat 2014 dan GP Emas Terbuka Brazil 2016.

Dalam laporan itu menyatakan BWF mengekstrak perbualan WhatsApp antara Zulfadli dengan Chun Seang melalui telefon pintar mereka.

Ia perbualan yang merangkumi tempoh 15 bulan antara 27 September 2013 hingga 12 Disember 2014.

Laporan itu juga menyebut Zulfadli terbabit dengan 27 pelanggaran Kod Tatatertib 2012 dan empat Kod Tatatertib 2016 pertaruhan dan mengatur perlawanan manakala Chun Seang pula didapati terbabit dalam 26 pelanggaran Kod Tatatertib 2012.

Kegiatan mereka mula terbongkar selepas BWF menerima aduan daripada seorang pemain yang tidak didedahkan namanya yang mendakwa dihubungi oleh Zulfadli bagi tujuan mengatur perlawanan ketika Terbuka Brazil 2016 yang menjurus kepada siasatan dijalankan oleh badan induk badminton dunia itu.

Chun Seang digantung selama 15 tahun serta denda AS$15,000 (RM59,000).

Berita berkaitan

Jalani tak boleh terima alasan Zulfadli

'Saya kenal anak saya'

'Perlawanan mana yang diatur?'

BAM pertimbang bantu Zulfadli

‘Tolonglah saya’ - Zulfadli

‘Proses rayuan sukar’

WhatsApp ‘atur perlawanan’ dibongkar

‘Beri saya masa’

BA sokong hukuman BWF

Berakhir sudah karier Zulfadli, Chun Seang

Gantung 15 dan 20 tahun...

Disiarkan pada: May 13, 2018 @ 3:47pm
d