arena

Peng Soon-Liu Ying tumpas

Oleh Ferzalfie Fauzi

 

AKSI kurang memberangsangkan menjadi punca pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tumpas kepada wakil Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yujung dalam perlawanan akhir Terbuka Australia, hari ini.

Peng Soon-Liu Ying yang juga pilihan ketujuh tumpas 12-21, 21-23 di Quay Centre, Sydney sekali gus menghalang hasrat mereka meraih trofi kedua musim ini.

Menurut Liu Ying, aksi final hari ini bukanlah persembahan terbaik mereka, malah pemain lawan yang juga pilihan kelima beraksi dengan lebih cemerlang.

"Kami tidak melakukan tugas dengan baik terutama sekali dalam mengawal emosi di gelanggang. Kombinasi kami juga kurang menjadi hari ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kali terakhir pasangan berkenaan muncul juara sebaik digandingkan semula tahun ini ialah di Thailand Masters Januari lalu ketika mengalahkan pasangan tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul 21-15, 14-21, 21-16.

Selepas ini pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan mengambil bahagian di Terbuka Amerika Syarikat bulan depan.

Peng Soon-Liu Ying yang sekarang menduduki ranking ke-46 dunia berjaya meraih AS$5,700 (RM22,503), manakala Seung Jae-Yujung membawa pulang AS$11,850 (RM46,784).

Bekas pasangan nombor satu negara itu juga dalam usaha untuk memperbaiki ranking kelayakan ke Kejohanan Dunia di Nanjing apabila berada di tangga ke-59.

Berdasarkan kedudukan ranking kelayakan, mereka perlu melonjak untuk sekurang-kurangnya berada di kelompok 24 terbaik dan jika ia berjaya mereka akan menjadi pasangan ketiga negara untuk beraksi di kejohanan berkenaan selepas Goh Soon Huat-Shevon Lai (7) serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (11).

KEPUTUSAN PENUH

Perseorangan lelaki

Lu Guangzu (CHN) mn Zhou Zeqi (CHN) 21-8 23-21

 

Beregu lelaki

Berry Angriawan-Hardianto Hardianto (INA) mn Wahyu Nayaka Arya Pangkaryanira-Ade Yusuf Santoso 21-9, 9-21, 21-15

 

Perseorangan wanita

Cai Yanyan (CHN) mn Ayumi Mine (JPN) 21-14, 21-13

 

Beregu wanita

Ayako Sakuramoto-Yukiko Takahata (JPN) mn Ha Na Baek-Lee Yu Rim (KOR) 23-21, 21-18

 

Beregu campuran

Seo Seung Jae-Chae Yujung (KOR) mn Chan Peng Soon-Goh Liu Ying 12-21, 21-23

Disiarkan pada: May 13, 2018 @ 7:02pm
d