arena

Terima kasih Arsenal, England

Oleh Reuters

ARSENE Wenger bukan saja mengucapkan selamat tinggal kepada Arsenal tetapi juga England, semalam selepas pengurus veteran itu menolak prospek untuk mengendalikan kelab Liga Perdana Inggeris lain.

Wenger menyaksikan skuad kendaliannya menewaskan Huddersfield Town 1-0 pada aksi terakhir liga musim ini sekali gus mengakhiri tugasnya di Arsenal sejak tiba di kelab itu kira-kira 22 tahun lalu.

Pengurus dari Perancis berusia 68 tahun itu menggambarkan tempohnya di Arsenal sebagai satu pengalaman yang mendewasakan selain mengimbau kembali kegembiraannya terhadap England dan budaya bola sepaknya.

Namun ketika ditanya mengenai prospek mengendalikan kelab Liga Perdana lain menentang ‘anak didiknya’ Arsenal, Wenger berkata, ia senario yang sukar untuk dibayangkan.

“Saya belum bersedia untuk melakukannya ketika ini, ia pasti amat sukar. Saya fikir pada hari itu lebih baik saya berada di rumah. Saya tidak tahu ketika ini, saya tidak pernah membayangkannya.”

Wenger begitupun mengesahkan sudah menerima tawaran untuk menguruskan kelab lain tetapi masih menimbang beberapa pilihan.

“Benar, saya mendapat tawaran, sudah tentu, tapi ketika ini saya tidak bercakap dengan sesiapapun membabitkan tawaran itu. Anda tidak boleh melalui proses yang panjang dan pada paginya berkata ‘ya, saya akan pergi ke tempat lain’, ia mustahil.

“Mungkin lebih baik saya pergi ke tempat lain.”

Selain Arsenal, Wenger berkata, beliau turut ‘jatuh cinta’ dengan England.

“Saya fikir saya bukan saja dihormati peminat kami tapi dari seluruh England,” katanya.

“Saya ingin ulangi, saya mencintai bola sepak Inggeris tapi pada masa sama saya juga belajar untuk mencintai England sepanjang 22 tahun.

“Anda tidak kekal di negara yang anda tidak gemari. Ia negara yang istimewa lebih-lebih lagi bola sepak dan kerana itu saya berada di sini untuk tempoh yang agak panjang.”

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 11:01am
d