arena

'Macam tak nak menang...'

Oleh APF

ANTONIO Conte mengakui Chelsea tidak berpeluang untuk menjuarai Piala FA ketika bertemu Manchester United jika persembahan sama ketika tewas 0-3 kepada Newcastle, semalam diteruskan.

Sejurus kalah, pengurus dari Itali itu mempersoalkan keinginan pemainnya dan berkata, kelab London itu perlu meningkat dengan pantas menjelang aksi final, hujung minggu ini.

Kekalahan menyaksikan juara musim lalu itu menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris di tangga kelima sekali gus gagal layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Pada pertemuan yang dijangka menjadi aksi terakhir Conte di Chelsea menentang bekas pengurus kelab itu, Jose Mourinho, pengendali berusia 48 itu berkata, pemainnya perlu meningkat dalam setiap aspek jika mahu menjulang trofi yang kali terakhir dimenangi pada 2012.

“Kami mahu mengakhiri musim ini dengan cara paling baik dan kami boleh membuat sesuatu yang lebih baik berbanding ini,” kata Conte.

“Untuk itu, saya orang pertama perlu menjawab mengenai persembahan buruk ini. Newcastle menunjukkan keinginan yang kuat dan bertarung dengan sengit dan jika kami bermain sebegini pada final Piala FA, kami tidak mempunyai peluang.

“Kami mempunyai enam hari untuk mengubah pendekatan, keinginan, semangat untuk bertarung kerana kami boleh melakukan sesuatu yang lebih baik.”

Ketika ditanya sama ada final Piala FA menjadi aksi terakhirnya bersama Chelsea, Conte menafikannya.

Beliau yang masih mempunyai baki kontrak selama 12 bulan di Stamford Bridge berkata: “Saya mempunyai kontrak, saya komited dan kelab tahu situasi ini dengan baik.

“Adakah perlawanan pada Sabtu (awal pagi Ahad) akan menjadi perlawanan terakhir saya? Tidak, saya tidak fikir ia seperti itu. Perkara paling penting adalah kelab, bukan spekulasi mengenai saya.”

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 11:23am
d