arena

Cari alternatif lain menyamai penggunaan video referral

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Semua pihak termasuk Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) perlu memikirkan alternatif lain yang menyamai penggunaan rujukan video (video referral) supaya ia boleh diaplikasikan dengan lebih baik pada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM).

Timbalan Presiden Kanan MHC, Datuk Dr S Shamala berkata, kaedah atau teknologi itu diharap dapat mengurangkan kos sekali gus membolehkan ia lebih realistik digunakan dalam setiap perlawanan liga pada masa depan.

“Untuk ketika ini, semua perlawanan yang membabitkan penggunaan rujukan video adalah sepenuhnya menggunakan kamera milik Astro.

“Bermakna, mereka menanggung semua kos. Tapi memang sudah tiba masanya untuk kita memikirkan alternatif lain yang dapat mengurangkan kos.

“Mungkin boleh membabitkan penyelidikan daripada pelajar di universiti atau pihak lain.

“Bagi MHC, bajet yang ada perlu diberi tumpuan kepada perkara lain seperti aspek pembangunan, bukan sekadar tertumpu kepada rujukan video,” katanya ketika dihubungi.

Tegas Shamala, tidak dinafikan penggunaan rujukan video sememangnya cukup penting untuk setiap perlawanan liga.

“Ini kerana setiap pasukan sudah berbelanja besar dan sudah tentu mereka mahukan keputusan yang adil pada setiap perlawanan.

“Sebab itu ada pada masa sama perlu penambahbaikan daripada pengadil perlawanan. Bukan bermakna mutu pengadilan sekarang tidak bagus, tetapi ia perlu lebih baik pada masa depan,” katanya.

Shamala mengulas laporan Sukan NSTP berhubung reaksi pelbagai pihak yang menyokong penggunaan rujukan video dalam setiap perlawanan bagi meningkatkan mutu liga di Malaysia.

Namun kekangan utama adalah soal kos kerana difahamkan untuk setiap perlawanan yang menggunakan rujukan video, ia akan menelan kos kira-kira RM100,000.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 11:35am
d