arena

'Ini baru demokrasi...'

Oleh Syafiq Aznan

Kuala Lumpur: Tindakan dua ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang cuba ‘menentang arus’ dengan mencalonkan pilihan sendiri bagi jawatan Presiden FAM, sekali gus mencabar calon pilihan, Datuk Hamidin Mohd Amin perlu dilihat daripada dua sisi.

Pemangku presidennya, Datuk Yusoff Mahadi tidak menafikan tindakan itu memang boleh dianggap sebagai ‘menentang arus’, namun beliau mengakui ahli gabungan bebas untuk menamakan sesiapa saja yang difikirkan layak dan sesuai untuk menduduki kerusi panas badan induk itu.

“Secara rasminya, kita sudah mendapat pencalonan keseluruhan, justeru kita kena menghormati keputusan ahli gabungan dan menerima hakikat bahawa pertembungan akan berlaku pada kongres nanti.

“Apapun, kalau kita hendak bercakap mereka cuba menentang arus apabila meletakkan calon lain pun boleh kerana kita sendiri tahu bahawa Hamidin mendapat 18 pencalonan, jadi saya lihat sokongan agak besar di situ.

“Tetapi kalau kita mengambil kira daripada sudut lain, itulah konsep demokrasi dalam pemilihan kerana masing-masing berhak untuk memiliki pandangan tersendiri dan meletakkan calon yang dirasakan sesuai.

“Sebab itulah kita perlu melihat situasi ini daripada dua sisi. Ini demokrasi dan dibenarkan dalam FAM dan kini terpulang kepada calon sama ada mereka sanggup ataupun tidak untuk menerima pencalonan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Sukan NSTP melaporkan persaingan sengit tiga penjuru bakal disaksikan bagi merebut jawatan Presiden FAM apabila Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) membuat keputusan mengejut mencalonkan bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa pada saat akhir sebelum tempoh pencalonan ditutup kelmarin.

Pencalonan Annuar yang juga adalah bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu dibuat sehari selepas Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mencalonkan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berdepan calon pilihan Exco FAM iaitu Hamidin.

Ketiga-tiga calon diberi tempoh selama sebulan untuk mengesahkan sama ada mereka bersedia untuk bertanding pada Kongres FAM ke-54 yang akan berlangsung 14 Julai ini.

Kerusi Presiden FAM dikosongkan selepas penyandangnya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya dengan beliau turut mencadangkan nama Hamidin selaku calon Presiden FAM yang baru.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 11:44am
d