arena

'Saya kekal sehingga 2025'

JUARA Liga Perdana Inggeris, Manchester City menganugerahkan penjaga gol Brazil, Ederson dengan melanjutkan kontraknya hingga 2025, semalam berikutan sumbangannya terhadap kempen memecah rekod 100 mata.

Ederson, 24, menandatangani kontrak enam tahun apabila dia menyertai kelab itu dari Benfica dengan harga £35 juta (RM187 juta) hampir 12 bulan lalu.

Namun berikutan impak dipamerkannya sejak menggantikan Claudio Bravo yang mudah melakukan kesilapan, menyebabkan City menyambung kontrak itu selama dua tahun lagi.

Selepas menjuarai Liga Perdana dengan rekod jurang 19 mata, Ederson menyasarkan trofi sulung City dalam Liga Juara-Juara musim depan.

“Saya bangga untuk menandatangani  kontrak baru. Ia bermakna kelab ini gembira dengan kerja saya, mereka percaya terhadap saya dan saya harap untuk menepati jangkaan mereka di tengah padang serta memberikan banyak kegembiraan buat penyokong,” katanya dalam satu kenyataan City.

“Saya mahu menang apa saja yang kami boleh! Semua pertandingan, tapi bagi saya Liga Juara-Juara tidak diragui satu pertandingan yang amat istimewa buat kami dan menjadi impian saya untuk memenanginya dengan jersi Manchester City!”

Ederson dijangka disenarai dalam skuad Brazil yang turut mengidam kejuaraan Piala Dunia keenam di Russia pada musim panas ini. Bagaimanapun, dia mungkin sekadar menjadi pelapis kepada penjaga gol AS Roma, Alisson Becker. - AFP

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 1:53pm
d