arena

'Cuma bantu proses rayuan, bukan bayar denda'

Oleh Fabian Peter

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak akan membantu Zulfadli Zulkiffli membayar denda selepas pemain itu didapati bersalah susulan mengatur perlawanan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria menegaskan badan induk itu hanya akan membantu pemain profesional membabitkan proses rayuan kepada BWF selepas dia turut dikenakan penggantungan selama 20 tahun.

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Lembaga Pengarah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini, Norza yang juga presiden badan induk yang memayungi persatuan sukan kebangsaan itu mengesahkan Zulfadli sudah mengemukakan rayuan secara rasmi untuk memohon bantuan kewangan daripada BAM memandangkan dia tidak mampu untuk melunaskan denda berjumlah US$25,000 (RM98,000).

"Ya, Zulfadli sudah mengemukakan rayuan untuk memohon bantuan daripada BAM. Selepas berbincang dengan BWF, dia kini dibenarkan untuk membayar denda selepas proses rayuan dijalankan.

"Selain itu, BAM juga akan menghantar wakil untuk memantau proses rayuan itu bagi memastikan Zulfadli mendapat pengadilan yang sewajarnya.

"Kami mengambil langkah sebegini kerana selaku badan induk, kami perlu mengambil perhatian setiap perkara membabitkan badminton di negara ini.

"BAM tidak akan campur tangan dengan kes ini. Kami serahkan segalanya kepada Zulfadli dan juga peguamnya. Kami juga tidak akan membayar denda yang dikenakan ke atasnya," kata Norza.

Bekas juara remaja dunia itu bersama seorang lagi pemain badminton tempatan, Tan Chun Seang didapati bersalah kerana mengatur perlawanan oleh BWF selepas sesi pendengaran bebas yang berlangsung di Singapura pada 26 dan 27 Februari lalu.

Berdasarkan laporan penuh daripada panel terbabit, Zulfadli dan Chun Seang didapati terbabit dalam mengatur perlawanan bagi enam kejohanan iaitu GP Terbuka London (2013), GP Terbuka Belanda (2013), GP Emas Terbuka Korea (2014), GP Terbuka Macau (2014), GP Terbuka Amerika Syarikat (2014) dan GP Emas Terbuka Brazil (2016).

Chun Seang yang pernah membarisi skuad Piala Thomas digantung selama 15 tahun dan dikenakan denda sebanyak US$15,000 (RM59,000).

Laporan BWF menyatakan perbualan menerusi aplikasi WhatsApp sepanjang tempoh 15 bulan antara 27 September 2013 hingga 12 Disember 2014 yang kebanyakannya dalam bahasa Malaysia diambil daripada telefon bimbit kedua-dua pemain itu.

Bagaimanapun, Zulfadli menerusi sidang medianya menuduh BWF cuba menganiayai dirinya tanpa mengemukakan bukti kukuh.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 6:35pm
d