arena

Mukhriz sedia kembali ke KFA

Oleh Embun Majid dan Suzalina Halid

DATUK Seri Mukhriz Mahathir yang baharu memulakan tugasan rasminya sebagai Menteri Besar menyatakan kesediaannya untuk sekali lagi menerajui Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Bagaimanapun, beliau akan menunggu keputusan dari mesyuarat eksekutif badan induk bola sepak negeri itu sebelum membuat keputusan lanjut.

Menurutnya, dia bersedia untuk memegang jawatan selaku presiden KFA jika itu yang diminta oleh penyokong skuad lang merah.

“Dalam soal jawatan itu, saya terbuka kepada apa sahaja cadangan sekalipun dan kalau dirasakan bahawa sesuai untuk saya terajui KFA sekali lagi sebagai Presiden, saya boleh terima pandangan itu.

“Tetapi saya nak tanya dahulu adakah ia perlu atau cukup sekadar saya bantu dari luar kerana sebelum ini kita buat kenyataan untuk mengelakkan orang politik terbabit dalam bola sepak Kedah,” katanya ketika ditemui pemberi ketika memulakan tugas di Wisma Darul Aman di sini semalam.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu berkata perkara itu kemungkinan akan dibincangkan dalam mesyuarat eksekutif KFA.

“Selain itu, kita juga boleh mendapatkan pandangan orang ramai mengenai perkara ini menerusi media sosial seperti Twitter, Instagram dan Facebook,” katanya.

Tambahnya, selain jawatan Presiden, beliau mahu pengurusan KFA terdiri daripada golongan profesional.

PH Kedah dalam manifesto PRU-14 menjanjikan akan menilai pembabitan ahli politik dalam KFA.

Sementara itu, Penasihat kelab penyokong Red Eagle Frenz Kedah, Mohd Amirul Ashraf Abu Mansor, mengakui KFA masih memerlukan kuasa politik dalam aspek pentadbirannya khususnya pembabitan daripada Menteri Besar sendiri.

Beliau berkata, tidak salah jika KFA masih dinaungi orang politik jika individu itu ternyata berjaya membawa KFA ke satu aras yang membanggakan.

“Tidak semestinya individu politik tidak mampu kerana pada saya sekiranya bukan Menteri Besar yang tidak mendominasikan bola sepak, siapa lagi?

“Lainlah jika KFA diletakkan sebagai sebuah hakmilik seperti kelab di luar negara yang mampu dinaungi oleh individu yang mahu mentadbir sambil menjalankan perniagaan untuk bola sepak.. ketika itu mungkin tidak perlu pembabitan ahli politik, ” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Presiden Peminat Bola Sepak Kedah, Fazli Mansor pula berkata, pembabitan ahli politik secara tidak keterlaluan dalam KFA diperlukan khususnya dalam soal dana.

Beliau berkata, bagaimanapun pembabitan mereka harus dihadkan bagi mengelakkan berlakunya sebarang salah guna kuasa, sekali gus memberi kesan kepada prestasi KFA.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 6:51pm
d