arena

Intai awang import baharu

Oleh Attirmidzie Rahman

PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) kini sedang mengintai beberapa pemain import baharu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata pemain import terbabit ialah dari Syria, Tunisia, Rusia, Uzbekistan, Perancis dan Afrika yang sedang dikenal pasti selain mereka akan diuji barisan kejurulatihan pasukan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, bagi mencapai hasrat itu KAFA sudah memaklumkan kadar bayaran gaji pemain terbabit kepada Malaysia Football League (MFL) untuk mengelak sebarang kemasukan pemain yang melebihi bayaran pemain import sedia ada.

“Bagi perkembangan perpindahan pasukan, kita bercadang untuk mengambil pemain import baharu dari beberapa negara di benua Eropah dan Asia bagi menggantikan beberapa pemain sekali gus memperkuatkan pasukan.

“Beberapa pemain dari negara berkenaan sudah memberi ‘lampu hijau’ untuk diuji dan kita sudah menghantar surat kepada MFL mengenai harga dan gaji setiap pemain,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Bibi Ramjani memaklumkan ada di kalangan pemain bakal dibawa nanti kini beraksi bersama sebuah pasukan di Israel dan perkara itu perlu diteliti kerana bimbang akan mencetuskan kontroversi kepada pasukan.

“Ada seorang pemain import terbabit kini beraksi di Israel dan perkara itu kita akan teliti terlebih dulu bersama Ketua Jurulatih, Fajer Ebrahim.

“Kita tidak mahu pemain yang dibawa nanti menimbulkan kontroversi dalam kalangan penyokong pasukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani turut membuka tawaran kepada mana-mana pasukan yang berminat dengan khidmat pemain yang mahu dilepaskan pasukan.

“Selain itu, mana-mana pasukan yang mahu khidmat Amiridzwan Taj, Badhri Radzi (Piya), Faizol Nazlin, Ramdhan Abd Hamid, Faris Shah Rosli, S Veenod manakala bagi pemain import, Do Dong Hyun dan Morgaro Gomis boleh memaklumkan pada kita untuk sebarang rundingan,” katanya.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 10:50pm
d