arena

TRW 'simpan' Pok Nik

Oleh Attirmidzie Rahman

KELANTAN mengekalkan pemain pertahanan kanan pasukan, Nik Shahrul Abdul Halim dan tidak akan melepaskannya ke pasukan lain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan selepas timbul desas-desus mengenai pemain berusia 28 tahun itu bakal meninggalkan pasukan yang diwakilinya sejak 2011.

Bibi Ramjani berkata, walaupun pihaknya menerima tawaran daripada dua pasukan Liga Super yang mahukan khidmat pemain itu namun ia tidak menjadi kenyataan.

Katanya, Nik Shahrul atau lebih dikenali Pok Nik seorang tonggak utama pasukan yang memainkan peranan penting di bahagian pertahanan dan jika dilepaskan ke pasukan lain mampu menjejaskan prestasi pasukan.

"Kita ada terima tawaran dari dua pasukan Liga Super yang menginginkan khidmatnya namun kita terpaksa menolak memandangkan Pok Nik menggalas tugas penting di posisi pertahanan pasukan.

"Jika kita lepaskan ia mungkin menjejaskan pasukan dan lebih baik kita kekalkan bagi memastikan pasukan terus bersaing.

"Jadi kita minta mana-mana pasukan untuk menghormati kontraknya seterusnya mengekalkan pemain ini bersama pasukan musim ini.”

Bibi Ramjani turut mendedahkan dua pasukan yang mahukan khidmat Nik Shahrul menawarkan gaji yang lebih baik.

"Ada diantara pasukan itu menawarkan gaji yang lebih baik berbanding gajinya bersama Kelantan dan perkara itu sebenar memberi kebaikan kepada masa depannya namun khidmatnya masih lagi diperlukan Kelantan," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Disiarkan pada: May 15, 2018 @ 3:08pm
d