arena

Farah buru hadiah hari lahir

Oleh Saiful Affendy Sapran

MESKIPUN sudah tewas dua perlawanan, penjaga gol skuad hoki wanita negara, Farah Ayuni Yahya enggan berputus asa, sebaliknya berharap rakan sepasukannya dapat meraih kemenangan pertama apabila bertemu Jepun pada perlawanan ketiga Trofi Juara-Juara Asia di Donghae, Korea Selatan esok. 

Malaysian Tigress tewas dua perlawanan kepada Korea Selatan dan China menerusi jaringan sama 1-3, namun mereka dilihat mampu memberi saingan kepada pasukan yang layak beraksi di Piala Dunia itu. 

Skuad negara pernah mengejutkan Jepun dalam saingan sama dua tahun lalu di Singapura sehingga menyaksikan Farah dinobatkan dinobatkan selaku penjaga gol terbaik  kejohanan. 

Justeru, dia berharap detik manis itu dapat diulangi apabila bertemu lawan sama esok. 

"Saya tidak pernah menyerah kalah sebab saya percaya masih ada peluang lagi untuk kami membuktikan kemampuan pasukan. 

"Sebab itu saya harap kami dapat tewaskan Jepun," katanya ketika dihubungi. 

Sekiranya dapat meraih tiga mata bertemu Jepun, ia pastinya menjadi hadiah terbaik untuk Farah yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-29, hari ini. 

Namun, tugas skuad negara tampak sukar selepas dua pemain negara, Raja Norsharina Raja Shabuddin dan Juliani Mohamad Din tidak pasti akan diturunkan selepas masing-masing patah jari serta cedera lutut. 

"Jepun pasukan yang kuat. Mereka seri ketika bertemu Korea. Pemain perlu memberikan yang terbaik untuk mendapatkan sesuatu daripada perlawanan ini," kata ketua jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

JADUAL TROFI JUARA-JUARA ASIA

ESOK 

Jepun mln MALAYSIA,  1.30 ptg

India mln China, 3.30 ptg

(Stadium Sunrise)

Disiarkan pada: May 15, 2018 @ 3:29pm
d