arena

KEPDA 'pilih' Hamidin

Oleh Zulfaizan Mansor

SELEPAS mendapat pencalonan tertinggi untuk bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turut mendapat ‘aura’ sokongan daripada kelab penyokong bola sepak tanah air.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Kedah (KEPDA), Nor Asmadi Hamzah berkata, Hamidin mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding dua calon lain, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi dan Tan Sri Annuar Musa.

Justeru, Asmadi berharap tidak berlaku sebarang unsur politik yang boleh mempengaruhi undi ahli gabungan pada pemilihan jawatan nombor satu badan induk berkenaan pada 14 Julai depan.

“Ketiga-tiga calon sebenarnya layak, tapi bagi saya Hamidin ada sedikit kelebihan berdasarkan pengalaman luas dalam menguruskan bola sepak negara.

“Walaupun bola sepak negara ketika ini tidak banyak perubahan ketika beliau memikul tugas sebagai setiausaha agung, tapi sebagai penyokong saya percaya beliau mampu membawa kemajuan lebih baik.

“Buat ahli gabungan, pilihlah individu yang tepat demi bola sepak negara. Jangan pilih kerana politik atau unsur lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Hamidin mendapat 18 pencalonan daripada ahli gabungan manakala Azim dan Annuar masing-masing hanya memperoleh satu pencalonan.

Sementara itu, Penyelaras Selangorfc.com, Mohd Firdaus Abdul Mutalib pula mengharapkan ahli gabungan membuat pemilihan berdasarkan kelayakan calon dan bukan mengikut emosi.

Jelasnya, ahli gabungan perlu memberi peluang kepada individu yang sudah mempunyai pengetahuan dalam bola sepak di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Jika melihat kepada senarai calon, memang Hamidin paling bagus. Tapi kita tidak boleh menafikan kebolehan Azim dan Annuar. Cuma kalau ikut kelayakan, Hamidin lebih layak.

“Walaupun Hamidin dilihat lebih mengikut telunjuk Presiden FAM ketika berperanan sebagai setiausaha agung sebelum ini, tapi kita jangka keadaan itu akan berbeza jika beliau dipilih sebagai presiden baharu nanti,” katanya.

Disiarkan pada: May 15, 2018 @ 5:49pm
d