arena

Burgos<strong> aspirasi Los Colchoneros</strong>

Oleh AFP

Madrid: Sewaktu German Burgos diberitahu pada 2003 dia perlukan pembedahan untuk membuang tumor pada buah pinggang kirinya, penjaga gol Atletico Madrid ketika itu berkata, ia boleh ditangguhkan hingga perlawanan berikutnya.

Kini Burgos bersiap sedia untuk membawa Atletico ke final Liga Europa menentang Marseille tanpa Diego Simeone, bertindak sebagai ketua motivator sementara ketua jurulatihnya berada di tempat duduk penonton akibat penggantungan.

“Saya agak gila-gila, seperti mana semua penjaga gol,” kata Burgos satu ketika dahulu.

Dia pernah menjadi pesakit kanser, menubuhkan sebuah kumpulan heavy metal dan menyelamatkan penalti Luis Figo dengan mukanya.

Burgos beraksi mewakili Atletico dari 2002 hingga 2004, membuat 35 penampilan Argentina, amat dikenali dengan rambut panjangnya yang sering dibalut ikat kepala atau memakai topi merah.

Sebaik karier Burgos sebagai pemain tamat, dia mengalih perhatiannya terhadap muzik, sebagai ketua kumpulan heavy metal ‘The Garb’.

Burgos akhirnya dipujuk Simeone untuk meninggalkan mikrofonnya pada 2011 dan menyertai bidang kejurulatihan, untuk bersamanya di Catania yang bergelut di Serie A.

Mereka berjaya menyelamatkan Catania daripada penyingkiran dan selepas bersama Racing Club, mereka berpindah ke Atletico pada Disember di mana Simeone menjadi jurulatih dan Burgos sebagai pembantunya.

Pada akhir musim itu, kelab itu menang Liga Europa dan seterusnya Copa del Rey. Pada 2014 Atletico menjuarai La Liga buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun.

Sekiranya Simeone berhasrat untuk menewaskan Marseille tanpa kehadirannya di tepi padang, pembantunya itu bakal menjadi pengganti yang sesuai. Burgos akan diberi peluang itu di Lyon awal pagi esok.

“Kami ada Burgos,” kata Simeone selepas terlepas aksi separuh akhir kedua menentang Arsenal. “Kami tidak perlu memandang satu sama lain untuk mengetahui apa yang kami mahukan.”

Disiarkan pada: May 16, 2018 @ 10:24am
d