arena

Nasib Segovia, Selangor berbeza 

Oleh Syafiq Aznan

PENGGEMPUR prolifik Selangor, Rufino Segovia sudah meledak lapan gol sekali gus muncul penjaring terbanyak Liga Super setakat ini.

Namun, bisa dan statusnya itu belum memadai untuk membantu skuad The Red Giants menghuni kelompok teratas liga apabila juara Piala Malaysia 33 kali itu sekadar menghuni tangga kelapan selepas hanya menghimpun 11 mata daripada 10 perlawanan.

Bagaimanapun, bekas penyerang kelab Hong Kong, Kitchee itu tidak kecewa dengan situasi yang melanda pasukannya meskipun sudah berhempas pulas menyumbat gol.

"Saya berpendapat Liga Super bukanlah satu saingan yang boleh dipandang ringan kerana bukan mudah untuk setiap pasukan meraih kemenangan dalam setiap perlawanan yang diharungi.

"Beberapa pasukan yang kuat juga pernah tewas sebelum ini. Adakalanya tuah tidak menyebelahi kami tetapi apa yang penting pasukan dapat meneruskan momentum yang ada ketika ini pada perlawanan seterusnya," katanya.

Ketika ditanya sama ada dia berdepan tekanan dengan tugas menjaringkan gol dalam setiap perlawanan, penyerang berusia 33  tahun itu mengakui dia hanya mahu melakukan yang terbaik untuk membantu The Red Giants melakar keputusan yang positif dalam setiap perlawanan.

"Sebagai penyerang, saya memiliki lebih banyak peluang untuk berada dalam kawasan lawan, jadi sebab itu saya perlu berusaha keras untuk menyempurnakan setiap peluang yang dihasilkan oleh rakan sepasukan.

"Saya juga boleh lihat keyakinan rakan sepasukan sudah meningkat kerana mereka juga cuba melakukan percubaan untuk menjaringkan gol demi membantu pasukan ini. Inilah yang perlu ditunjukkan dalam perlawanan akan datang," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2018 @ 6:00pm
d