arena

Arnold, Cheek antara disenarai Southgate

Oleh Reuters

PERTAHANAN kanan Liverpool berusia 19 tahun,  Trent Alexander-Arnold antara kejutan yang dibuat pengurus England, Gareth Southgate ketika mengumumkan senarai 23 pemainnya bagi menghadapi Piala Dunia Russia.

Pemain muda Chelsea yang ketika ini sedang dipinjamkan, Ruben Loftus-Cheek, 22, juga diberikan tiket ke Russia selepas tampil dengan persembahan baik bersama Crystal Palace musim ini.

Ketika kapten Chelsea, Gary Cahill, yang tempatnya sebelum ini diragui turut disenarai, penjaga gol berpengalaman Joe Hart dan pemain tengah Arsenal,  Jack Wilshere tiada dalam senarai.

Southgate tidak mengikuti tindakan kebanyakan jurulatih lain dengan menyerahkan senarai awal 30 pemain sebaliknya menyenaraikan 23 nama sebelum tempoh akhir yang ditetapkan Persekutuan Bolsepak Antarabangsa pada 4 Jun ini.

Begitupun, beliau tetap membuka sedikit peluang untuk beberapa lagi pemain disenaraikan dengan menyerahkan lima nama dalam senarai menunggu.

Bekas pengurus skuad 23 tahun England itu sering meletakkan kepercayaan terhadap pemain muda sejak mengambil alih tugas daripada Sam Allardyce dengan Alexander-Arnold yang belum pernah beraksi bersama skuad senior adalah pemain termuda disenaraikan.

Selain Cahill, beberapa pemain turut menarik nafas lega antaranya Danny Welbeck tetapi penyerang Arsenal itu perlu bersaing dengan Harry Kane, Jamie Vardy dan Marcus Rashford di jentera serangan.

Pertahanan kiri, Danny Rose juga disenaraikan sekali pun hanya bermain dalam 10 aksi Liga Perdana Inggeris musim ini bersama Tottenham Hotspur.

Bagi meningkatkan keupayaan serangan, Southgate juga membariskan Raheem Sterling, Dele Alli dan Jesse Lingard di bahagian tengah.

Di Brazil empat tahun lalu, England hanya menjaringkan dua gol dalam tiga aksi peringkat kumpulan sebelum tersingkir.

SKUAD PIALA DUNIA ENGLAND

Penjaga gol: Jack Butland (Stoke City), Jordan Pickford (Everton), Nick Pope (Burnley).

Pertahanan: John Stones (Manchester City), Harry Maguire (Leicester City), Phil Jones (Manchester Utd), Kyle Walker (Manchester City), Kieran Trippier (Tottenham Hotspur), Gary Cahill (Chelsea), Ashley Young (Manchester Utd), Danny Rose (Tottenham Hotspur), Trent Alexander-Arnold (Liverpool).

Tengah: Eric Dier (Tottenham Hotspur), Jordan Henderson (Liverpool), Dele Alli (Tottenham Hotspur), Jesse Lingard (Manchester Utd), Raheem Sterling (Manchester City), Ruben Loftus-Cheek (Chelsea), Fabian Delph (Manchester City).

Penyerang: Harry Kane (Tottenham Hotspur), Jamie Vardy (Leicester City), Marcus Rashford (Manchester Utd), Danny Welbeck (Arsenal).

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 12:54am
d