arena

Griezmann dalang Atletico rai Liga Europa

Oleh AFP

LYON: Antoine Griezmann menjadi hero buat Atletico Madrid apabila penyerang Perancis itu menjaringkan dua gol ketika menang 3-0 mengatasi Marseille awal pagi tadi dalam final Liga Europa dekat Lyon.

Kejayaan itu sekaligus menghadiahkan trofi kali ketiga kepada kelab itu dalam tempoh sembilan musim.

Ia adalah gelaran utama pertama buat Griezmann sebagai pemain Atletico dan memberikan laluan sesuai jika dia meninggalkan kelab itu pada penamat musim.

Ketika ini, Barcelona dikatakan menjadi destinasi seterusnya untuk saingan musim depan.

Griezmann – dibesarkan di Macon, hanya 70 kilometer dari Lyon – menjaringkan masing-masing satu gol pada setiap babak (m-21 dan m-49) dengan penyudah tajamnya hadir ketika Marseille kehilangan Dimitri Payet kerana kecederaan dan kapten pasukan itu keluar sambil menangis.

Gabi mengesahkan kemenangan mutlak milik Atletico menerusi jaringan pada minit ke-89, manakala dua jaringan awal Griezmann sebelum itu membolehkan pemain ini mengumpul jumlah jaringan keseluruhan kepada 29 gol pada musim ini.

“Ini adalah anugerah buat saya selepas saya meninggalkan tempat ini pada usia 14 tahun, untuk semua kerja keras, penderitaan,” kata Griezmann yang menghabiskan seluruh kariernya di Sepanyol dan sebelum ini menang Piala Super Sepanyol kepada beIN Sports.

“Ada kegembiraan dan kesedihan, tetapi saya sangat gembira dan saya harap boleh merasai saat seperti ini sekali lagi.”

Sementara itu, kekalahan terkini itu membuatkan Marseille semakin terdesak untuk menjulang trofi Eropah kedua dalam sejarah mereka, di Perancis selepas kali terakhir melakukannya pada 25 tahun lalu - menewaskan AC Milan dalam final Liga Juara-Juara.

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 6:53am
d