arena

Neymar kembali cari rentak

Oleh AFP

RIO DE JANEIRO: Bintang Brazil, Neymar berkata hari ini dia berasa “selesa” apabila kembali berlatih menjelang Piala Dunia 2018, selepas berehat lebih dua bulan akibat patah tulang kaki.

Penyokong Brazil berdoa agar pemain paling mahal dunia itu akan kembali cergas 100 peratus dalam usaha pasukan berkenaan memburu gelaran dunia keenam, di Russia.

Mesin penjaring gol Paris Saint-Germain (PSG) itu berkata, sesi pertamanya bersama bola berlangsung dengan baik.

“Saya mula berlatih dengan bola, membuat hantaran, menyepak,” katanya dalam temubual di Facebook bersama Desimpedidos, ruang sembang dan komedi yang diasaskan pemain legenda Brazil, Kaka.

“Saya rasa bagus, selesa,” katanya. “Jelas ada sedikit ketakutan tetapi saya semakin dapat mengatasinya sedikit demi sedikit.”

Menjawab soalan dalam talian daripada peminat, Neymar berkata dia akan menukar gaya rambutnya dan bercukur jika Brazil menang di Russia.

“Jika kita menang, saya akan lakukan apa saja yang anda mahu,” katanya.

Neymar cedera pada 25 Februari lalu ketika bermain buat PSG menentang Marseille dalam saingan Ligue 1, Perancis.

Pemain berusia 26 tahun itu menjalani pembedahan pada bahagian tulang di kaki kanannya di Brazil pada awal Mac.

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 8:33am
d