arena

Sanchez tagih magis Wembley

Oleh AFP

LONDON: Alexis Sanchez akan ke Wembley bagi final Piala FA Sabtu ini berdepan Chelsea, sambil berharap keajaiban piala itu sekali lagi menjadi inspirasi buatnya memulakan rentak dimahukan selepas bermula perlahan di Manchester United.

Sanchez bukanlah pemain sebarangan kerana pemain ini dilaporkan menandatangani kontrak paling mahal dalam sejarah Liga Perdana untuk tempoh empat tahun setengah di Old Trafford pada Januari.

Bagaimanapun pada kebiasaannya, penghujung musim sentiasa menjadi tempat Sanchez paling menyinar.

Sanchez tiba di United dari Arsenal menerusi perpindahan pertengahan musim, selepas United mengatasi pencabarnya, juga juara Liga Perdana, Manchester City untuk mendapatkan tandatangannya.

Ia adalah antara kejayaan yang jarang disaksikan buat United untuk mengatasi pesaingnya, namun sehingga kini Sanchez masih gagal menepati statusnya apabila hanya menjaringkan hanya tiga gol dalam 17 penampilan.

Jaringan paling penting bersama United hadir pada separuh akhir Piala FA bulan lalu ketika menyamakan kedudukan dan membawa skuad Jose Mourinho mencipta kemenangan 2-1, mengatasi Tottenham.

Dia juga memainkan peranan penting dalam final Piala FA ketiganya dalam tempoh empat tahun di England.

Sanchez menjaringkan gol pada final 2015 dan 2017 bagi memberi inspirasi buat Arsenal mencipta kejayaan ketika berdepan Aston Villa dan Chelsea.

“Apa yang tidak kena ialah dia datang pada saat yang paling sukar dalam musim ini...kerana itu saya tidak suka pasaran perpindahan pada musim sejuk. Saya rasa ini adalah peluang yang kita tidak mahu kalah dan kami mengambilnya,” kata Mourinho.

“Saya harap musim depan dia akan lebih baik, yang kami rasa akan berlaku.

“Saya bukanlah peminat aktiviti membeli pemain pada perpindahan musim sejuk kerana mereka akan berdepan tempoh sukar untuk menyesuaikan diri, terutama membabitkan penyerang.”

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 9:17am
d